MOSCOW – Presiden Perancis, Emmanuel Macron memberi Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu imuniti daripada waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sebagai pertukaran kepada peranan rundingan gencatan senjata di Lubnan, lapor Le Point.
“Ini merupakan harga yang perlu dibayar kerana terlibat dalam perjanjian Lubnan. Untuk Paris memainkan peranan ini, Emmanuel Macron perlu mengambil tiga langkah ke belakang menerusi Kementerian Luarnya dengan membicarakan mengenai imuniti diplomatik,” menurut sumber Israel.
Pada Rabu lalu, Kementerian Luar Perancis mengumumkan bahawa negara itu tidak dapat melaksanakan waran tangkap ICC terhadap Netanyahu kerana beliau mempunyai imuniti sebagai ketua negara yang mana ia bukan sebahagian daripada Statut Rom.
Netanyahu memberi tekanan kepada Macron menerusi perbualan telefon pada minggu lalu untuk menentang keputusan ICC itu, dengan mengugut untuk menghalang Perancis daripada rundingan gencatan senjata di Lubnan, lapor rangkaian radio RMC.
Le Point melaporkan semasa perbualan itu, dua pemimpin beretuju dengan perincian gencatan senjata.
Netanyahu berjanji untuk ‘memberi Perancis, di samping Amerika Syarikat, peranan penting dalam jawatankuasa untuk memantau pelaksanaan Resolusi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu 1701’.
Pada 21 November lalu, ICC mengeluarkan waran tangkap ke atas Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant yang melakukan jenayah peperangan di Jalur Gaza.
Belgium, Belanda, Ireland dan negara lain berikrar akur terhadap keputusan tersebut. – Agensi