KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) komited membantu golongan yang berkeperluan dengan memperuntukkan RM900,000 bagi pelaksanaan program pembangunan dan pendidikan di Kampung Baru.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, program itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasakan golongan asnaf dan meningkatkan kualiti hidup penduduk setempat.
“Menerusi Program Santuni MADANI Kampung Angkat, pelbagai inisiatif telah diambil dengan memberikan fokus kepada usaha-usaha menaik taraf kemudahan awam, masjid, surau dan sekolah-sekolah.
“Hari ini, program diteruskan dengan tumpuan kepada naik taraf kemudahan awam dan pendidikan di Kampung Baru, yang juga kampung angkat saya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pengisian Santuni Madani Kampung Baru di Masjid Kampung Baru, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi MAIWP, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer.
Katanya, program itu merupakan kesinambungan daripada program Kampung Angkat pada 29 Julai 2024, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan, termasuk ziarah konvoi berbasikal, agihan bakul makanan, bantuan musibah, gunting rambut percuma dan pemeriksaan kesihatan.
Menurut beliau, antara inisiatif utama yang dilaksanakan adalah menarik taraf Dewan Komuniti Kampung Paya dengan peruntukan berjumlah RM20,000 dan menyediakan dana RM100,000 untuk pembaikan Masjid Jamek Kampung Baru.
Selain itu, Madrasah Rajaiyah di Jalan Raja Uda, di sini, turut menerima peruntukan RM100,000, sementara Surau Al-Hidayah Kampung Padang dan Surau Jalan Raja Bot masing-masing diperuntukkan RM50,000 dan RM30,000 untuk tujuan penyelenggaraan dan penambahbaikan.
Mohd Na’im berkata, bagi sektor pendidikan, Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Kampung Baharu dan SK Kampung Baru masing-masing menerima dana sebanyak RM100,000 dan RM200,000.
Selain itu katanya, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puteri Wilayah, Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih serta SK Jalan Raja Muda turut menerima peruntukan RM100,000 setiap satu bagi menaik taraf kemudahan infrastruktur.
“Agensi hal ehwal Islam khususnya MAIWP mengambil tanggungjawab untuk membantu institusi keagamaan iaitu masjid, surau dan madrasah termasuk institusi sekolah dan kemudahan awam seperti Dewan Komuniti.
“Melalui bantuan yang diluluskan ini, diharap ia dapat membantu meringankan beban pihak institusi yang terlibat melalui pembangunan infrastruktur bagi memberikan keselesaan khususnya kepada penduduk Kampung Baru,” katanya yang menjangkakan kerja menaik taraf semua kemudahan siap menjelang suku pertama tahun hadapan.
Beliau menambah, program itu bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk Kampung Baru, tetapi juga mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkasa pembangunan komuniti secara menyeluruh, melalui pendekatan Santuni MADANI yang berfokuskan kebajikan rakyat.
“Saya percaya peranan ini perlu digerakkan bersama melalui institusi masjid, sekolah dan institusi kemasyarakatan.
“Apa yang penting adalah semangat bekerjasama, tolong menolong dan saling hormat menghormati perlu terus dikekalkan dan ini menjadi resipi penting untuk mengekalkan keharmonian di sini.
“Justeru, besarlah harapan saya supaya pelaksanaan program ini akan memberikan impak yang besar kepada semua penduduk Kampung Baru seperti yang dihasratkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya. – MalaysiaGazette