BALIK PULAU – Seramai 18 individu termasuk dua wanita yang terbabit dalam pergaduhan angkara pertelingkahan sepasang kekasih pada Sabtu lalu, didakwa Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Tertuduh iaitu, Khairul Ezham Khairul Eddy, 20, Muhammad Syafril Haikal Mohd Fazli, 20, Muhammad Aliff Aliman Mazlan, 21, Mohammad Alif Ikhram Mohd Hashim, 23, Ahmad Afifuddin Selamat, 25, Muhammad Asrul Nazrul Haizam, 22 dan Mohd Syafik Abdullah, 20, Nornikman Noor Din, 33, Nor Azira Zaidi, 40 dan Ahmad Ameeruddin Selamat, 22, mengaku bersalah selepas pertuduhan bersama terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Chia Huey Ting.
Bagaimanapun, lapan lagi tertuduh iaitu Mohamed Ammar Mohamed Ghani, 19, Muhammad Aiman Ibrahim, 19, Aszaifudin Hamid Mohaideen, 19, Muhammad Nur Zuhairi Noordin, 19, Muhammad Adzlie Hakim Muhammad Nasir, 19, Muhamad Fahrien Addenan, 19, Alyssa Sofieya Mazlan, 19 dan Muhammad Nor Isma Haikal Nor Ismadi, 20, membuat pengakuan tidak bersalah.
Seramai 10 tertuduh yang mengaku bersalah itu dikenakan denda RM800 setiap seorang manakala lapan lagi yang tidak mengaku bersalah masing-masing dibenarkan ikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh adalah ahli suatu perhimpunan yang menyalahi undang-undang dengan tujuan bersama perhimpunan iaitu bergaduh dan melakukan kesalahan merusuh di Queens Water Front Q1, Persiaran Bayan Indah, Bayan Lepas dekat sini, jam 2.30 pagi pada 23 November lalu.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Jin Hong manakala kesemua tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Edric Loo.
Ketika prosiding, Jin Hong menawarkan jaminan yang berbentuk pengajaran terhadap kesemua tertuduh memandangkan kes tersebut tidak sepatutnya berlaku di tempat awam termasuk di kawasan residen.
Bagaimanapun, Edric memohon mahkamah memberi jaminan paling minimum iaitu sebanyak RM1,000 seorang dengan mengambil kira faktor dan latar belakang kesemua tertuduh terbabit.
“Saya mohon satu jaminan minimum kerana masing-masing tertuduh terdiri daripada penganggur, pekerja kilang, pelajar kolej swasta dan institusi kerajaan, penghantar makanan serta pembantu kedai makan,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Nor Isma mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan 326 akta sama.
Pendakwaan tersebut dilakukan di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen sebelum mahkamah membenarkan jaminan masing-masing berjumlah RM1,500 dan RM8,000 dengan seorang penjamin.
Media sebelum ini melaporkan, seramai 17 individu termasuk dua wanita ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian pergaduhan dipercayai akibat selisih faham satu pasangan kekasih. – MalaysiaGazette