Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Pulau Pinang menyifatkan kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang mempersoalkan isu sejarah dan pajakan Pulau Pinang sebagai tidak berasas.

MUDA Pulau Pinang dalam satu kenyataan berkata, kenyataan Muhammad Sanusi itu turut bercanggah dengan fakta undang-undang serta sejarah negara.

Tegasnya, kenyataan sedemikian berpotensi menggugat keharmonian rakyat selain mencetuskan ketegangan politik yang tidak produktif.

“Pulau Pinang secara sah telah diiktiraf sebagai salah satu negeri berdaulat dalam Persekutuan negara di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh itu, sebarang usaha untuk menimbulkan persoalan terhadap status tersebut dianggap tidak relevan dan hanya bertujuan menimbulkan provokasi yang boleh meretakkan hubungan antara negeri.

“Sejarah tidak seharusnya dimanipulasi untuk agenda politik jangka pendek. Sebaliknya, ia perlu dijadikan asas untuk mengukuhkan perpaduan dan kesejahteraan bersama,” katanya hari ini.

Memgulas lanjut MUDA turut mencabar Muhammad Sanusi untuk membawa tuntutan isu bayaran air Sungai Muda ke mahkamah.

“Langkah ini adalah lebih profesional dan telus berbanding membuat kenyataan provokatif yang tidak mempunyai asas kukuh.

“Kami menyeru semua pihak agar mengutamakan perpaduan dan fokus kepada agenda pembangunan negara demi manfaat generasi akan datang,” katanya.

Media semalam melaporkan pasukan pengkaji yang dilantik Kerajaan Negeri Kedah untuk menyelidik dokumen berkaitan hubungan dengan Pulau Pinang akan membentangkan hasil kajian pada bulan depan.

Muhammad Sanusi berkata, hasil kajian berkenaan akan dijadikan panduan untuk kerajaan negeri meneruskan tindakan selanjutnya dalam menilai semula kadar pajakan lebih tinggi terhadap Pulau Pinang.

Katanya, pasukan penyelidik membabitkan pakar perundangan dan sejarawan itu meneliti lebih 20,000 dokumen berkaitan daripada beberapa negara antaranya British Library. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here