SHAH ALAM – Tan Sri Muhyiddin Yassin berhak melantik mana-mana individu sebagai Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN).
Datuk Seri Hamzah Zainudin yang menyandang jawatan itu berkata, tindakan Pengerusi PN itu mengikut perlembagaan.
“Mengikut perlembagaan, pengerusi (Muhyiddin) boleh melantik Setiausaha Agung PN dan hari ini apabila pengerusi umum dia mahu Azmin Ali sebagai Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu maka akan lantik dalam mesyuarat pimpinan tertinggi PN pada 9 Dis ini,” katanya selepas merasmikan sayap Bersatu pada Perhimpunan Agung Tahunan 2024.
Semalam, Muhyiddin mengumumkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilantik sebagai Setiausaha Agung Bersatu dalam Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu sesi 2024-2027.
Pengumuman itu dibuat menerusi hantaran di Facebook.
Malah, beliau turut mengumumkan Datuk Seri Rina Harun sebagai Bendahari Agung Bersatu dan Datuk Tun Faisal Ismail Aziz sebagai ketua penerangan parti itu bagi tempoh yang sama.
Dalam pada itu, Hamzah berkata, nama Setiausaha Agung PN yang baharu dijangka diumumkan pada 9 Disember ini.
Ura-ura mengatakan keputusan tersebut mencetuskan konflik apabila Pengerusi PN itu didakwa membuat keputusan tanpa berunding dengan Pas.
Bagaimanapun, Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad menafikan parti berkenaan tidak berpuas hati dengan keputusan Muhyiddin dan menyifatkan laporan berita mengenai dakwaan itu sebagai bisikan syaitan.- MalaysiaGazette
Azmin dilantik Setiausaha Agung Bersatu berkuat kuasa hari ini – Muhyiddin