MELAKA – Kerajaan memberi jaminan mangsa banjir di negeri terjejas bencana itu tidak akan terputus bekalan makanan asas sepanjang musim tengkujuh ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, kerajaan telah memberikan lesen khas iaitu tambahan 30 peratus stok bekalan kepada pemborong melalui persediaan yang dibuat sejak dua bulan lalu.
“Sebelum mula banjir lagi, KPDN sudah keluarkan lesen khas untuk tambah 30 peratus stok di peringkat pemborong supaya kita bersedia dengan yang bekalan mencukupi.
“Macam di Kelantan sekarang ini dah terkepung (dengan banjir) jadi mungkin bekalan dari Kuala Lumpur tak sampai tapi tak perlu risau sebab mereka dah siapkan stok yang cukup di sana,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan pembukaan gudang baru penyimpanan tong komposit LPG di Ayer Keroh di sini hari ini. Hadir sama Pengarah KPDN Melaka Norena Jaafar.
Ketika ini, terdapat kira-kira 2004 pemborong dan peruncit di seluruh negara yang mempunyai lesen CSA (lesen runcit barang kawalan berjadual).
Penambahan khas melalui lesen CSA itu membolehkan mereka menyimpan stok 21 barang kawalan dengan tambahan 30 peratus daripada had simpanan sedia ada.
Antara barangan itu termasuk beras, minyak masak, gula, susu, tepung gandum dan beberapa barang keperluan lain. – MalaysiaGazette