SHAH ALAM – Cadangan atau pandangan supaya Barisan Nasional (BN) menyertai Perikatan Nasional (PN) bukan daripada keputusan pimpinan tertinggi gabungan itu.
Malah, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan perkara itu tidak sewajarnya disuarakan oleh pimpinan bawah.
“Kalau kita nak bercakap dari segi itu biarlah ia dari kepimpinan tertinggi parti. Sepatutnya presiden-presiden parti duduk membincangkan perkara ini bila sudah sampai masanya, barulah wakil diberikan mandat berucap.
“Tapi kalau seorang, dua daripada pimpinan bawah, itu hanyalah suara-suara di bawah, bukan datang dari keputusan daripada peringkat teringgi parti,” katanya Ketika ditemui selepas merasmikan Perhimpunan Agung sayap Bersatu di sini, hari ini.
Hari ini, Mursyidul Am Pas Datuk Hashim Jasin dipetik sebagai berkata adalah baik sekiranya parti Melayu Islam seperti UMNO, BN menyertai PN.
Beliau berkata demikian selepas mendakwa tidak mempunyai maklumat mengenai usaha Pas yang dikatakan memujuk BN meninggalkan Kerajaan Perpaduan seperti yang didakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.
Mengulas pelawaan itu, Hamzah yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyifatkan pelawaan tersebut sekadar ‘sembang kosong’.
Bahkan, tambah beliau, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan juga tidak diberikan mandat untuk menyuarakan pelawaan tu.
“Ia bukanlah perbincangan, ia sekadar berjumpa dalam Parlimen, masa itu (dia, Shahidan kata, “takkanlah takut sangat DAP. cakap macam-macam dengan UMNO”).
“Jadi bila dia cakap begitu, Presiden UMNO tanya apa yang patut dia buat, jawapannya keluarlah daripada kerajaan Perpaduan kalau keluar nak tubuh cemana, boleh bersama dengan kami…
“Itu pun tidak ada mandat untuk dia bercakap (Shahidan) dengan Presiden UMNO cuma sebagai kawan tidak salah bercakap, mencadangkan sesuatu yang (perlu) dilakukan) ia rasa lebih baik.
“Takkanlah sebab itu Presiden UMNO katakan ada mandat dari pucuk pimpinan PN mengajak. Sebenarnya tidak ada… belum ada Pengerusi PN beritahu buat pelawaan secara rasmi dengan mana-mana pihak,” jelasnya.-MalaysiaGazette