KUALA LUMPUR- Malaysia Rail Link (MRL), pemilik projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan pembinaan projek tersebut menjadi punca banjir di Kelantan dan Terengganu ketika ini.
Syarikat itu menegaskan, reka bentuk bagi projek ECRL telah mengambil kira sejarah kejadian bencana alam seperti banjir melalui kajian yang dilakukan oleh perunding Hidrologi & Hidraulik.
Jelasnya, banjir di Kelantan dan Terengganu ketika ini adalah disebabkan hujan lebat yang berterusan dan pihak MRL juga telah mengambil maklum serta mengenal pasti beberapa kawasan yang mudah dinaiki air.
Bagaimanapun, MRL memberi jaminan bahawa jajaran ECRL di Pantai Timur adalah selamat dan bebas banjir.
Ini kerana reka bentuk jajaran dibina dengan struktur lebih tinggi daripada paras banjir selain mengambil kira impak paling minimum terhadap alam sekitar.
“MRL akan dan sentiasa mengambil tanggungjawab atas sebarang kerosakan yang berlaku jika ia ternyata disebabkan oleh projek ECRL.
“Sejak dari awal pembinaan projek ECRL, MRL telah mengenal pasti tempat-tempat yang terlibat dengan banjir di sepanjang jajaran ECRL di negeri-negeri yang berkenaan dan langkah-langkah awalan telah pun diambil bagi membantu penduduk setempat yang terjejas.
“Namun, MRL ingin menegaskan bahawa tidak semua kawasan yang dilanda banjir di sepanjang jajaran ECRL adalah disebabkan oleh pembangunan projek ECRL,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, MRL menjelaskan, projek ECRL telah mencadangkan reka bentuk yang optimum dengan mengambil kira aspek teknikal, nilai kejuruteraan dan risiko banjir di kawasan-kawasan tertentu di sepanjang jajaran 665 km.
Pada masa sama, reka bentuk jajaran ECRL juga mengambil kira kadar hujan 100 tahun atau Average Recurrence Interval (ARI) di tambah dengan Climate Change Factor (CCF) dan mengambil kira pembangunan guna tanah di masa hadapan sebanyak 20 peratus seperti mana yang ditetapkan oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
“Berdasarkan ini, lintasan laluan air seperti pembentung direka bentuk bagi memastikan laluan air banjir tidak akan menyebabkan banjir teruk di bahagian hulu dan hilir laluan air tersebut. Kesemua reka bentuk ini telah dirujuk kepada pihak JPS untuk kelulusan,” katanya lagi.
MRL juga akan memastikan pembinaan projek ECRL tidak akan menganggu aliran air yang sedia ada dan melaksanakan kerja-kerja mitigasi dalam kadar segera bagi melancarkan aliran air.
Ini termasuk mendalamkan saliran air sedia ada, membuka dan menambah laluan air, dan membersihkan saluran air sedia ada bagi mengurangkan risiko banjir.
Tambahnya, penyelenggaraan sistem saliran akan dilakukan secara berkala bagi memastikan ianya tidak terhalang oleh bahan sedimen, sisa pembinaan, atau tumbuh-tumbuhan yang boleh menyebabkan saluran tersumbat.
Selain itu, penanaman rumput yang sesuai akan dilaksanakan di kawasan cerun sepanjang jajaran projek bagi membantu mengawal hakisan tanah serta meningkatkan penyerapan air, sekali gus mengurangkan risiko banjir.- MalaysiaGazette