Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA –  Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan cuti semua Jemaah Menteri dibekukan susulan bencana banjir yang teruk melanda beberapa negeri ketika ini.

Malah, Perdana Menteri turut menggesa semua menteri turun padang segera bagi membantu mangsa-mangsa banjir.

“Ya…Semua menteri diminta teruskan tugas sekarang, turun (ke lapangan),” katanya ringkas kepada pemberita di sini hari ini.

Anwar ditanya berkenaan situasi bencana banjir yang melanda beberapa buah negeri ketika ini termasuk sama ada cuti Menteri dan Timbalan Menteri dibekukan bagi memberi perhatian kepada bencana terbabit.

Terdahulu, Anwar menunaikan solat Jumaat bersama lebih 500 penduduk kariah Presint 17 di Masjid Pudina dekat sini, selepas makan tengah hari di restoran Nasi Champo di Taman Warisan Pertanian, di sini.

Situasi banjir di seluruh negara ketika ini terutama di Kelantan terus memburuk sehingga awal pagi ini, dengan keseluruhan mangsa dilaporkan mencecah lebih 70,000 orang daripada 22,699 keluarga.

Selain Kelantan, bencana banjir turut dilaporkan di Terengganu, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan, Perak dan Selangor. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast