SHAH ALAM – Perikatan Nasional (PN) boleh melakukan penjajaran semula pada bila-bila masa demi membentuk gabungan politik yang kukuh.
Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Muhammad Hilman Idham berkata, meskipun anggota dalam perikatan itu mempunyai pandangannya masing-masing namun ia tidak akan meruntuhkan muafakat yang dijalinkan.
“Bersatu juga tidak akan benarkan mana-mana pihak sama ada pihak parti politik atau individu untuk ‘hold us to ransom’, jadikan Bersatu sebagai tebusan sementara mengakui ada pendekatan dan pandangan yang berbeza namun tidak bermaksud kita mahu meruntuhkan pembangunan melalui PN.
“PN ketika ini berada dalam keadaan strategik dalam landskap politik negara. Kita boleh pada bila-bila masa melakukan realignment (penjajaran semula) untuk bentuk sebuah gabungan untuk bentuk gabungan politik yang gagah di Putrajaya,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika menyampaikan ucapan dasar di Perhimpunan Agung Armada, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan anggota PN supaya tidak mencampuri urusan dalaman parti masing-masing.
“Saya berpandangan, etika gabungan ala Westphalian perlu diwujudkan dan dipatuhi oleh semua anggota gabungan sama ada yang lama atau yang akan datang dengan semangat saling hormat menghormati dan tidak campur urusan dalaman parti.
“Ini merupakan prinsip asas yang digunapakai oleh Pertubihan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” ujarnya.
Jelas beliau, PN yang diterajui oleh Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin terbukti dan berjaya menjadi blok terbesar dalam Parlimen meskipun sebagai pembangkang
“Kita sebenarnya tidak kalah sebab itu pada hari ini saya ingin menegaskan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pemimpin nombor satu,” katanya.
Sehubungan itu katanya, Armada kekal dengan pendirian untuk menjadikan Muhyiddin sebagai ‘supreme commander’ dalam Bersatu dan gabungan tersebut menjelang pilihan raya akan datang. – MalaysiaGazette