KUALA LUMPUR – Tentera Darat Malaysia (TDM) sentiasa bersedia menambah penempatan dan anggota sekiranya situasi banjir di beberapa negeri bertambah buruk.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, pada masa ini seramai 192 pegawai bersama 3,552 anggota TDM telah digerakkan bagi misi bantuan banjir menerusi Ops Murni.
Ujarnya, pelbagai kelengkapan aset mobiliti darat TDM seperti trak dan lori serta bot tempur sedia digerakkan pada bila-bila masa bagi membantu agensi keselamatan di lokasi kejadian.
“Dengan jumlah keseluruhan anggaran awal hampir 4,000 orang antara yang akan digerakkan sekiranya mereka diperlukan namun kami (TDM) akan menilai keadaan secara berterusan.
“Ketika ini, kita sudah mengatur gerakkan 31 pegawai dan 350 anggota lain-lain pangkat (LLP) bersama 17 trak satu tan, 16 trak tiga tan dan 15 bot tempur ke Kedah, Kelantan dan Terengganu.
“Kita menjangkakan bencana banjir yang negara ketika ini akan berlanjutan sehingga hujung tahun dan awal tahun hadapan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pengurniaan Pangkat seorang wira yang menyelamatkan empat remaja daripada lemas di Puncak Alam, di sini hari ini.
Jelas beliau, Ops Murni merupakan operasi dilaksanakan TDM bagi membantu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai agensi utama dalam pengurusan banjir.
Ditanya sama ada TDM bersedia untuk membuka kem miliknya sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS), ujar beliau, pihaknya akan mengkaji dan mempertimbangkan perkara itu.
“Mengenai PPS, kita sedia maklum ia di bawah seliaan NADMA dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Saya percaya ketika ini PPS yang ditetapkan sudahpun beroperasi.
“Bagaimanapun, jika ada keperluan TDM membantu menyediakan, ia akan diteliti dan mempertimbangkan mana-mana kem yang berdekatan PPS terjejas untuk digunakan.
“Sebelum ini, semasa banjir besar 2014, tiada kem tentera digunakan sebagai tempat perlindungan sementara, tetapi kami tetap terbuka kepada langkah sedemikian jika perlu,” jelasnya.
Terdahulu, portal InfoBencana JKM memaklumkan, jumlah mangsa banjir di seluruh negara mencatatkan peningkatan lebih 80,000 mangsa susulan hujan di sembilan negeri.
Selain itu, sebanyak 523 PPS telah diaktifkan bagi memberi perlindungan kepada semua mangsa daripada 25,003 keluarga yang terjejas banjir. – MalaysiaGazette