KUANTAN – Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) menyerbu sebuah premis di sekitar daerah ini semalam kerana disyaki beroperasi sebagai klinik pergigian swasta yang tidak berdaftar dan dikendalikan oleh seorang pengamal tidak bertauliah.
Menurut Pengarahnya, Datuk Dr. Rusdi Abd Rahman, operasi dijalankan berdasarkan aduan yang diterima daripada orang awam berkenaan rawatan pergigian yang dijalankan di premis kediaman jenis rumah kampung itu.
Dalam serbuan itu, katanya seorang wanita berusia 20-an telah diberikan dua notis denda kerana menawarkan rawatan pergigian pemasangan pendakap gigi tidak berlesen di premis tersebut yang dipercayai telah beroperasi sejak empat tahun lepas.
Beliau berkata, pihaknya turut merampas peralatan untuk perkhidmatan pemasangan pendakap gigi bernilai RM500.
“Rawatan pergigian ini diberikan oleh individu yang tidak berdaftar di bawah Akta Pergigian 2018 (Akta 804), yang mana akta ini memperuntukkan larangan menjalankan amalan pergigian oleh seseorang yang tidak didaftarkan.
“Amalan pergigian ini dijalankan di premis yang boleh disifatkan sebagai sebuah Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (KPJKS) yang dikawal selia di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586), di mana klinik pergigian swasta perlu didaftarkan di bawah Seksyen 27 akta yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rusdi berkata, perbuatan menjalankan amalan pergigian oleh orang yang tidak berdaftar, telah dikategorikan sebagai melanggar peruntukan di bawah subseksyen 62(1) Akta 804 dan boleh dihukum di bawah subseksyen 62(3) akta yang sama.
Selain itu, pengoperasian premis tanpa didaftarkan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula merupakan pelanggaran subseksyen 4(1) Akta 586 dan boleh dihukum di bawah subseksyen 5(1) akta yang sama.
Kedua-dua kesalahan tersebut jika disabitkan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM300,000 atau dipenjarakan bagi tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya bagi setiap kesalahan.
“JKNP memandang serius isu amalan pergigian oleh individu tidak bertauliah dan pengoperasian klinik pergigian haram yang boleh mendatangkan keburukan kepada masyarakat.
“Orang ramai hendaklah berhati-hati terhadap pelbagai iklan dan testimonial yang dipaparkan dalam media sosial bagi mengelakkan menjadi mangsa kepada pengamal pergigian haram ini,” kata Rusdi lagi.
Beliau berkata, status pendaftaran pengamal pergigian boleh disemak melalui laman sesawang http://dpims.moh.gov.my manakala status pendaftaran klinik pergigian swasta boleh disemak di laman sesawang https://hq.moh.gov.my/medicalprac/. – MalaysiaGazette