SHAH ALAM – Semua ahli mahupun kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) digesa bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU16) yang akan berlaku sebelum penggal tamat pada 2027.
Setiausaha Agung Bersatu yang baru dilantik, Datuk Seri Azmin Ali yakin pilihan raya mengejut akan berlaku sebelum tamatnya penggal pemerintahan Kerajaan Madani disebabkan tekanan daripada rakyat.
“Saya percaya dengan tekanan daripada rakyat hari ini, yang menyatakan Kerajaan Madani sebagai kerajaan yang gagal, Putrajaya tiada pilihan lain selain membubarkan Parlimen.
“Kita bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum,” katanya dalam ucapan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) parti itu hari ini.
Azmin yang juga Bekas Menteri Besar Selangor berkata, akar umbi Bersatu akan terus diperkuatkan sebagai persedeian untuk menghadapi pilihan raya nanti.
Beliau berkata, kepimpinan Bersatu akan terus mengiatkan usaha dan memberi komitmen tinggi membantu setiap cawangan parti itu di seluruh negara.
“Saya berikrar pentadbiran baru ini akan turun padang dan membantu akar umbi di peringkat cawangan dan bahagian untuk mengukuhkan parti menerusi keahlian yang lebih ramai dan cawangan yang lebih banyak.
“Langkah ini agar kita dapat bersedia menghadapi pilihan raya negeri ataupun pilihan raya umum akan datang kerana pilihan raya umum tidak semestinya diadakan tiga tahun dari sekarang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette