SHAH ALAM – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Sarawak berhasrat untuk bertanding di 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Wakil Bersatu Sarawak, Dr Ambrose Labang Anak Jamba berkata, atas penerimaan baik pengikut parti berkenaan di Sarawak, ini merupakan peluang terbaik Bersatu untuk menembusi negeri bumi kenyalang itu.
“Peluangnya ada (untuk bertanding di Sarawak), namun adakah pusat (Bersatu) akan beri sokongan dan peluang kepada kami atau tidak, itu masalahnya.
“Menang kalah belum tahu. Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang peluang kita akan ada, sekurang-kurangnya 12 bahagian sudah bersedia,” katanya semasa sesi perbahasan pada Perhimpuan Agung Tahunan (PAT) Bersatu, di sini, hari ini.
Pada PRN Sarawak Disember 2021, Bersatu memutuskan untuk tidak bertanding, sebaliknya bersetuju membantu kempen Gabungan Parti Sarawak (GPS), biarpun wujud gesaan akar umbi supaya parti meletakkan calon sendiri.
Bersatu Sarawak pada Disember 2021 turut mengambil tindakan dengan melucutkan keanggotaan tiga ahlinya yang bertanding sebagai calon bebas pada PRN berkenaan.
Penggal DUN PRN Sarawak akan berakhir pada 2026, melibatkan 82 kerusi DUN. – MalaysiaGazette