KUALA LUMPUR- CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) menawarkan pelepasan bayaran pinjaman dan pembiayaan untuk enam bulan bagi pelanggan individu dan perniagaan yang terjejas akibat banjir.
Kumpulan perbankan itu dalam kenyataan hari ini berkata, CIMB Bank dan CIMB Islamic Bank telah memudahkan proses permohonan Pelan Bantuan Banjir yang mana pelanggan hanya perlu menyediakan maklumat asas sahaja.
Tambahnya, caj dan fi lewat tidak akan dikenakan kepada pelanggan yang terjejas.
Manakala bagi pelanggan PKS yang terjejas banjir dan memerlukan bantuan aliran tunai tambahan, mereka juga boleh memohok Kemudahan Bantuan Bencana sehingga RM700,000 dengan kadar pembiayaan yang berpatutan.
Caj tidak akan dikenakan bagi penggantian kad debit/kredit, permohonan penyata akaun atau penggantian buku akaun serta buku cek yang rosak.
CIMB juga katanya akan bekerjasama dengan pihak insurans untuk mempercepatkan proses tuntutan insurans di kawasan terjejas banjir.- MalaysiaGazette