KUALA LUMPUR- Kebimbangan yang timbul dalam kalangan masyarakat Melayu bahawa dasar kerajaan yang lebih inklusif dan bertoleransi terhadap bangsa lain berpotensi mengorbankan kepentingan mereka adalah tidak berasas, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata di bawah kerajaan semasa, kedudukan Raja-Raja Melayu, keistimewaan Melayu dan agama Islam serta Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di bawah Perlembagaan Persekutuan tidak akan terjejas.
“Kerajaan dan saya melalui rakan gabungan yang hebat sudah menyatakan dengan jelas bahawa Perlembagaan telah menjamin bahawa kedudukan Raja-Raja Melayu, hak keistimewaan Orang Melayu, Islam sebagai agama Persekutuan dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak akan dikompromi.
“Malah di bawah pentadbiran kerajaan ini, ketika mengambil alih projek Bandar Malaysia daripada entiti asing, kami telah menyatakan dengan jelas bahawa terdapat bahagian minimum iaitu tanah seluas 50 ekar yang akan dipelihara sebagai rizab Melayu, yang merupakan kali pertama sejak negara mencapai kemerdekaan.
“Perkara ini meyakinkan saya bahawa bukan hanya Orang Melayu tetapi juga bukan Melayu termasuk Kabinet saya memahami bahawa pendirian dan dasar kerajaan ini sangat jelas iaitu kita berada di sini untuk bersikap adil dan menganggap setiap rakyat Malaysia sebagai anggota dalam satu keluarga yang hebat,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam tahunan Persatuan Alumni Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCOBA) di sini.
Perdana Menteri berkata walaupun kerajaan menyokong tindakan afirmatif, ia tidak percayakan amalan diskriminasi.
Beliau mengakui bahawa pelaksanaan dasar tindakan afirmatif sebelum ini seperti dasar Bumiputera telah dicemari oleh nepotisme dan berkata ia telah disalah guna untuk mengayakan keluarga serta pemimpin parti dengan mengorbankan masyarakat Melayu secara keseluruhan.
Meskipun begitu, Anwar berkata beliau menyokong tindakan afirmatif versi moden yang lebih telus dan inklusif sekali gus memastikan bahawa manfaat diagih dengan lebih saksama kepada semua orang Melayu termasuk golongan miskin bandar dan masyarakat di luar bandar.
“Itulah sebabnya saya percaya kita perlu memberikan mesej dan pendedahan ini kepada orang Melayu bahawa meskipun kita mampu mengekalkan beberapa elemen dasar ekonomi, kita tidak boleh mengharapkan kejayaan jika kita mengabaikan prinsip keterangkuman serta ketelusan, dan memastikan bahawa dasar-dasar ini memberi manfaat kepada kebanyakan orang Melayu termasuk golongan miskin bandar dan di kawasan luar bandar,” katanya.
Menyentuh mengenai MCOBA, Anwar mengakui peranan bersejarah kolej itu sebagai penyedia pendidikan elit yang memiliki hubungan dengan kewujudan kolonial dan nilai-nilai British di samping mengekalkan identiti Melayunya.
Beliau berkata tradisi kolej itu tidak pernah menyimpang daripada peranan asalnya dengan para alumni memberikan sumbangan yang penting terhadap pembangunan negara dan pada masa sama, kekal setia kepada Islam, warisan Melayu serta nilai-nilai kebangsaan.
Perdana Menteri berkata gabungan tradisi dan kemodenan ini adalah kritikal ketika Malaysia mendepani cabaran abad ke-21 seperti transformasi digital dan peralihan tenaga.- BERNAMA