Amir Hamzah bersama pengunjung dalam Program Perasmian Karnival My Pesara KWAP 2024 di Padang Akasia Angsana JB, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diminta untuk bersama-sama berganding bahu membantu mangsa banjir yang melanda di sembilan negeri, ketika ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, GLC berkenaan boleh berbuat demikian menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) masing-masing.

Pada masa sama katanya, kerajaan mengambil berat dan simpati terhadap situasi banjir seluruh negara yang kini sudah melebihi 100,000 orang mangsa.

“Semalam Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meninjau keadaan di Kelantan dan hari ini di Terengganu.

“Minggu ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga akan ke Pantai Timur untuk meninjau sendiri keadaan banjir dan salurkan bantuan.

“Kerajaan memang salurkan dana menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk bantu mangsa banjir yang terkesan. Insya Allah, kita akan bantu jika ada isu berbangkit,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mewakili Perdana Menteri melancarkan Karnival My Pesara KWAP di Padang Akasia, Angsana Mall JB di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Nik Amlizan Mohamed.

Pada 18 Oktober, Perdana Menteri  telah mengarahkan penyaluran segera peruntukan hampir RM600 juta untuk Nadma sebagai persiapan mendepani musibah banjir, termasuk lebih RM300 juta yang telah disediakan untuk persiapan sekiranya berlaku bencana pada bila-bila masa.

Selain itu, peruntukan RM150 juta kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk memulakan kerja pembersihan longkang dan pengorekan sungai di bandar yang terkesan banjir, turut diarah disalurkan segera.

Hari ini pula, kerajaan sudah mengagihkan dana banjir sebanyak RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas di seluruh negara bermula semalam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, bayaran itu akan disalurkan kepada setiap KIR yang memenuhi syarat dan kriteria ditetapkan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berharap pengagihan bantuan berkenaan, terutama bantuan tunai akan dapat diatur gerak dengan sepenuhnya.

Mangsa banjir di seluruh negara dilaporkan meningkat hampir 10,000 dalam tempoh dua jam, menjadikan jumlah keseluruhannya seramai 130,957 dengan 39,268 keluarga setakat tengah hari tadi.

Kelantan dan Terengganu masih mencatatkan jumlah tertinggi manakala lima lagi negeri, Kedah, Selangor, Perlis, Negeri Sembilan dan Johor turut menunjukkan peningkatan ketara

Di Kelantan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan jumlah mangsa banjir menunjukkan trend menaik kepada 85,718 orang dengan 284 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di 10 jajahan berbanding 82,447 orang di 279 PPS, pagi tadi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here