KUALA LUMPUR – Kumpulan sukarelawan Kembara Kitchen memulakan misi bantuan banjir di kawasan-kawasan terjejas teruk di negara ini sejak beberapa hari lepas melalui inisiatif ‘Hero Meals’ iaitu pek makanan sedia dimakan (RTE).
Menurut pengasas Kembara Kitchen, William Cheah, setakat semalam sahaja sebanyak 5,000 pek Hero Meals sudah diagihkan di Kelantan dan hari ini 3,000 lagi pek dihantar ke Segamat, Johor, untuk membantu mangsa banjir di kawasan tersebut.
Set makanan tersebut termasuk nasi putih dengan kari sayur, laksa johor, spaghetti bolognaise, Nohutlu Tavuk (menu Nasi Palestine) nasi lemak sotong, nasi basmathi dan kari ayam yang pasti memberikan sedikit kelegaan kepada mereka yang terjejas.
Bercakap kepada MalaysiaGazette, kata William, Kembara Kitchen tidak mungkin dapat melaksanakan misi bantuan ini tanpa adanya penglibatan syarikat-syarikat korporat tempatan yang begitu komited dalam membantu mangsa terjejas.
Kata beliau, sejak awal tahun ini, Yayasan CIMB bekerjasama rapat dengan Kembara Kitchen untuk menghasilkan Hero Meals yang kini disalurkan kepada mangsa banjir dari utara di Kedah hingga ke Johor, serta di Pantai Timur dan Sabah.
“Semalam kita sudah hantar 5,000 pek, hari ini kita hantar pula 3,000 Hero Meals yang sedia dimakan bantu semua mangsa-mangsa ini.
“Sebelum ini, Briged Sukarelawan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah mengambil bahagian dalam penghasilan Hero Meals. Kumpulan pelajar dari UiTM cawangan Segamat, Johor itu hadir sendiri ke Kembara Kitchen di sini untuk membantu menyediakan 1,000 pek.
“Ironinya, hari ini mereka antara penerima bantuan tersebut kerana mereka sendiri merupakan mangsa banjir yang sedang melanda di Johor kini. Kita bantu sesama kita,” katanya hari ini.
Kata beliau lagi, tanpa sokongan dari pihak korporat seperti Yayasan CIMB tahun ini, kumpulan tidak akan dapat mencapai apa yang telah dilakukan sepanjang tahun ini.
“Kami telah menyerahkan bantuan makanan RTE hampir ke seluruh Malaysia kecuali Sarawak, dan kami juga sedang dalam proses menubuhkan pusat retort Hero Meals di Kota Kinabalu di Sabah dan Miri di Sarawak.
William berkata kerjasama dengan Yayasan CIMB bukan sekadar bantuan kewangan sebaliknya syarikat ini juga menghantar pegawai mereka untuk terlibat secara langsung dalam usaha ini.
“Mereka benar-benar memahami keperluan kami dan menunjukkan kepedulian yang mendalam terhadap situasi semasa,” katanya.
Kembara Kitchen telah diiktiraf halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), pengiktirafan ini memberi peluang untuk penghasilan makanan yang dihasilkan oleh mereka adalah sesuai untuk semua peringkat umur, agama dan bangsa. -MalaysiaGazette