KUALA LUMPUR- Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 146,611 orang malam ini berbanding 142,684 petang tadi, dengan Kelantan terus mencatatkan jumlah mangsa tertinggi.
Situasi banjir di tiga negeri iaitu Perlis, Negeri Sembilan dan Selangor pula mencatatkan penurunan mangsa setakat 8 malam ini.
Di KELANTAN jumlah mangsa banjir di 285 PPS mencecah 93,158 orang daripada 28,830 keluarga setakat ini berbanding 91,279 orang petang tadi.
Menerusi Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jajahan Pasir Mas kekal mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 27,829 orang, diikuti Tumpat (16,390), Kota Bharu (13,754), Pasir Puteh (9,466) dan Kuala Krai (6,951).
Turut terkesan, Bachok dengan 6,634 mangsa, Machang (6,075), Tanah Merah (5,334), Jeli (737) dan Gua Musang (27).
Portal infobanjir.water.gov.my merekodkan tujuh sungai utama masih melepasi paras bahaya namun menunjukkan penurunan iaitu Sungai Kelantan di Kusial Baru (17.92 meter), Sungai Kelantan di Kusial (17.93 meter), Sungai Golok di Rantau Panjang (11.20 meter), Sungai Kelantan di Tambatan Diraja (5.52 meter), Sungai Golok di Tumpat (4.24 meter), Sungai Melor di Bachok (9.24 meter) dan Sungai Semerak di Pasir Puteh (4.10 meter).
Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 41,409 orang malam ini berbanding 39,954 orang sebelah petang, dan Besut adalah daerah paling terjejas dengan 15,984 orang daripada 4,260 keluarga ditempatkan di 121 PPS.
Mangsa banjir di Hulu Terengganu seramai 6,652 orang di 62 PPS; Setiu (6,470 orang, 50 PPS); Dungun (5,776 orang, 41 PPS); Kuala Terengganu (2,243 orang, lapan PPS); Kemaman (2,277 orang, 14 PPS); Kuala Nerus (1,214 mangsa, tujuh PPS); dan Marang (793 orang, lapan PPS).
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menziarahi keluarga mangsa tragedi runtuhan tanah di Kampung Bukit Apit dekat Ajil di Hulu Terengganu petang tadi telah mengarahkan pihak berkaitan mempergiat pemantauan di kawasan berisiko di lereng bukit atau cerun, bagi mengelak kejadian tanah runtuh sepanjang musim Monsun Timur Laut ini.
Di KEDAH, Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 8,580 orang daripada 2,622 keluarga berbanding 8,252 orang daripada 2,514 keluarga, petang tadi.
Mangsa ditempatkan di 52 PPS melibatkan Kubang Pasu dengan 2,693 orang berada di 16 PPS; Kota Setar (2,820 orang, 12 PPS); Padang Terap (1,186 orang, sembilan PPS); Sik (1,087 orang, lapan PPS); Pokok Sena (594 orang, empat PPS); Kuala Muda (182 orang, dua PPS) dan di Baling (18 orang, sebuah PPS)
Di JOHOR, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 507 orang pada 8 malam ini berbanding 449 orang petang tadi, dengan Tangkak mencatat mangsa paling tinggi iaitu 311 orang yang ditempatkan di tiga PPS iaitu Sekolah Kebangsan (SK) Bukit Rahmat, Sekolah Agama Bandar dan SK Abdullah.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata sebuah lagi daerah terjejas banjir ialah Segamat melibatkan 196 mangsa ditempatkan di sembilan PPS.
Beliau berkata tiga sungai iaitu Sungai Tangkak di Kampung Seri Ma’mor, Tangkak; Sungai Lenik di Ladang Cha’ah, Batu Pahat; dan Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang dilaporkan berada pada paras bahaya.
Di MELAKA, Seketariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka dalam kenyataan memaklumkan mangsa banjir meningkat semula kepada 293 orang daripada 98 keluarga setakat 8 malam berbanding 198 orang daripada 54 keluarga pada 4 petang tadi.
Kesemua mangsa terjejas adalah dari 32 lokasi iaitu di Melaka Tengah (111 orang di PPS SK Krubong); Alor Gajah (36 orang di PPS Japerun Durian Tunggal dan SK Ayer Jernih) dan Jasin (146 orang di PPS SK Parit Penghulu dan SK Seri Mendapat).
Di PERLIS, Pengarah APM Perlis Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata jumlah mangsa banjir berkurang kepada 224 orang daripada 60 keluarga malam ini berbanding 243 orang daripada 65 keluarga petang tadi, dengan 83 mangsa masih berlindung di PPS SK Arau di Arau manakala 141 orang berada di PPS Dewan Warisan, Kangar.
Di NEGERI SEMBILAN, portal Info Bencana JKM melaporkan mangsa banjir di 13 PPS membabitkan tiga daerah iaitu Tampin, Jempol dan Kuala Pilah menunjukkan penurunan kepada 1,985 orang daripada 569 keluarga berbanding 2,007 orang daripada 573 keluarga sebelah petang.
Di SELANGOR, situasi banjir di Meru, Klang menunjukkan perkembangan positif dengan jumlah mangsa semakin berkurang iaitu 229 orang daripada 57 keluarga malam ini, berbanding 302 orang petang tadi, kesemuanya berlindung di SK Sungai Binjai.
— BERNAMA