Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR- Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif menzahirkan hasrat untuk menghantar sumbangan kepada rakyat Malaysia yang terkesan akibat banjir ketika ini.

Perkara itu dinyatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

“Petang tadi saya menerima panggilan telefon daripada rakan sejawat dari Pakistan, Shehbaz Sharif, yang menzahirkan simpati kepada Malaysia yang diuji dengan musibah banjir.

“PM Shehbaz mendoakan perlindungan dan kesejahteraan kepada lebih 140,000 rakyat Malaysia di beberapa negeri yang terkesan dengan bencana banjir,” katanya.

Tambah Anwar, beliau menyatakan penghargaan tertinggi di atas sifat murah hati rakan sejawatnya itu dan mengalu-alukan sumbangan tersebut bagi menghargai persahabatan erat Malaysia-Pakistan.

Sambil mengucapkan terima kasih atas keprihatinan kerajaan Pakistan, Anwar turut mengambil peluang menjemput Shehbaz berkunjung ke Malaysia awal tahun depan.

Menerusi hantaran itu, Anwar menambah, keutamaan dan perhatian sepenuhnya kini tertumpu kepada kebajikan serta keselamatan mangsa banjir.

Untuk rekod, Perdana Menteri dijadualkan melakukan lawatan ke Setiu, Terengganu yang merupakan antara daerah yang sedang dilanda banjir ketika ini.

Selain Terengganu, lapan lagi negeri turut dilanda banjir iaitu Kelantan, Kedah, Negeri Sembilan, Perlis, Johor, Melaka, Perak dan Selangor.

Setakat petang tadi, 142,684 mangsa telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here