KUALA LUMPUR – Seorang pemuda penunggang motosikal bertindak agresif terhadap anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas ditahan kerana didapati tiada lesen memandu dalam sekatan jalan raya Operasi Khas Motosikal di Jalan Bangsar pada tengah malam tadi.
Lelaki tempatan berumur lingkungan 25 tahun itu pada mulanya ditahan anggota JPJ dalam operasi tersebut selepas dia gagal mempamerkan nombor pendaftaran di bahagian hadapan motosikal tersebut.
Individu terbabit mulanya memberikan alasan menunggang motosikal milik rakannya sebelum pemeriksaan lanjut mendapati dia tidak memiliki lesen yang sah.
Kerana tak puas hati diarahkan berhenti untuk pemeriksaan, lelaki itu mula bertindak agresif dengan mempertikaikan tindakan yang diambil anggota JPJ.
Malah, pemuda berkenaan yang beralamat di PPR Kampung Muhibbah Puchong itu juga mula memaki hamun pegawai JPJkerana tidak puas hati disaman dan motosikalnya ditahan dalam operasi tersebut.
Bagaimanapun, tindakan lelaki itu membawa padah apabila semakan dilakukan mendapati nombor pendaftaran digunakan dipercayai palsu dan motosikalnya disita JPJ serta-merta untuk tindakan lanjut berlunaskan undang-undang.
Dia juga dilibatkan dalam ujian saringan air kencing oleh pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan yang turut bertugas dalam operasi tersebut.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Datuk Jazmanie Shafawi berkata, operasi dijalankan bermula jam 9 malam hingga 1 pagi itu melibatkan kekuatan seramai 150 pegawai dan anggota JPJ Kuala Lumpur.
Jelasnya lagi, operasi turut melibatkan pelbagai agensi antaranya Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara.
“Malam ini kita melakukan pemeriksaan ke atas 5,169 kenderaan melibatkan pelbagai kenderaan jenis kenderaan termasuk motosikal diperiksa selain 1,431 kesalahan dikesan melibatkan pelanggaran di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Antara kesalahan yang dikesan adalah melibatkan tiada lesen memandu, tidak cukai jalan serta cukai jalan tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, ubah suai kenderaan dan pelbagai kesalahan teknikal,” katanya pada sidang media operasi berkenaan di Jalan Bangsar berhampiran setesen LRT Bangsar tengah malam tadi.
Tambah beliau, sebanyak 1,369 saman dikeluarkan serta 62 kenderaan melibatkan motosikal dan kereta disita oleh JPJ dalam operasi tersebut.
“Tindakan sitaan ini diambil ke atas kenderaan yang diklasifikasikan tidak mematuhi piawaian keselamatan bagi kegunaan di atas jalan raya.
“Selain itu, tindakan diambil bagi melengkapkan prosedur siasatan pelbagai kes kesalahan semasa dan rekod lampau pengendali kenderaan seperti tiada insurans, tiada lesen memandu, ubah suai piawai keselamatan dan sebagainya,” katanya.
Dalam operasi sama, JPJ juga berjaya menahan dua individu dipercayai pendatang asing tanpa izin yang menunggang motosikal dengan bantuan Imigresen.
“Pihak AADK pula telah membuat saringan air kencing ke atas 20 individu dan menahan dua individu yang dikesan positif dadah.
“Sementara itu, pihak JSPT turut mengeluarkan saman membabitkan pelbagai kesalahan lalu lintas dalam operasi berkenaan,” tegasnya.-MalaysiaGazette