TAMPIN – Tembok tebatan banjir runtuh menjadi punca kejadian banjir disifatkan antara terburuk yang melanda kira-kira 1,000 penduduk di Taman Pinggiran Felda Sungai Kelamah, Gemas, di sini awal pagi Jumaat lalu.
Banjir yang melanda kira-kira pukul 2.30 pagi itu menjejaskan hampir 200 buah rumah penduduk ketika mereka sedang lena tidur apabila rumah dinaiki air sehingga paras 2.4 meter.
Penduuduk, Norizan Mohd Noh, 49, berkata, banjir di lokasi hotspot itu adalah kedua terburuk selepas 2010 sejak taman perumahan itu dibuka pada 2006.
“Seingat saya sudah lima kali taman perumahan ini ditenggelami banjir sejak 2010 dan kali ini adalah kedua terburuk itu pun nasib baik ada tembok penebat banjir dibina tahun ini di kiri dan kanan taman.
“Malangnya, tembok itu runtuh akibat arus kuat banjir menyebabkan saya kerugiaan hampir RM10,000,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Suri rumah, Hamidah Abdul Hamid, 49, berkata, dia dikejutkan suaminya sekitar pukul 2 pagi apabila penduduk taman bersebelahan Sungai Kelamah itu mulai kecoh akibat rumah dimasuki air.
“Tanpa berfikir panjang, saya terus angkat anak-anak masuk kereta dan keluar dari rumah kerana air ketika itu sudah semakin deras.
“Tiada satu pun barang-barang dalam rumah dapat diselamatkan apabila air naik ke paras leher termasuklah barangan bayi persiapan anak kedua yang sedang menunggu hari untuk bersalin,” katanya.
Warga emas, Shamsuddin Omar, 63, berkata, kawasan rendah taman itu dinaiki air dalam tempoh kira-kira 30 minit sahaja menyebabkan ramai penduduk tidak sempat mengalihkan barangan berharga.
Sementara itu menerusi portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat pukul 1.45 petang tadi, sebanyak 2,089 mangsa banjir daripada 601 keluarga di tiga daerah dipindahkan ke 17 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka sejak semalam.
Tiga daerah terlibat adalah Tampin seramai 1,467 mangsa, Kuala Pilah (341), dan Jempol seramai 281 mangsa bagi keseluruhan enam mukim terjejas. – MalaysiaGazette