Para Peserta sedang menyiapkan inovasi masing-masing dalam program IoT Hackathon.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 16 sekolah menengah dari daerah Johor Bahru telah menyertai Program IoT Hackathon Menggunakan TinkerKit yang dianjurkan oleh STEM-RBTK dan diadakan di Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE).

Program ini ditaja oleh IEEE Electron Devices Society (IEEE EDS) dan berlangsung pada 24 dan 25 November 2024.

Penyelaras Akademik, Jabatan Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (ECE), Dr. Mohd Azhar Abdul Razak berkata, program dua hari ini adalah
untuk memberi pendedahan mendalam kepada pelajar mengenai konsep Internet of Things (IoT).

“Pada masa yang sama kita juga ingin mengasah kemahiran dan pemikiran inovatif mereka dalam bidang kejuruteraan dan teknologi yang terus berkembang pesat di era digital ini,” katanya lagi.

Antara peserta yang menyertai IoT Hackathon.

Program ini dimulakan dengan sesi taklimat yang memperkenalkan konsep asas IoT dan aplikasinya dalam kehidupan seharian. Para peserta diberi pengetahuan tentang
penggunaan sensor, peranti pintar, dan teknologi komunikasi dalam membangunkan sistem IoT yang berfungsi untuk meningkatkan kualiti hidup.

Selain itu, mereka turut didedahkan kepada kecerdasan buatan (AI) yang digunakan untuk menganalisis data yang dikumpulkan oleh peranti IoT dan membantu dalam membuat keputusan automatik bagi meningkatkan kecekapan sistem.

Para peserta juga mempelajari kepentingan Database dalam menyimpan dan menganalisis data besar yang dihasilkan oleh sistem IoT, serta bagaimana integrasi teknologi ini dapat memperbaiki prestasi sistem secara keseluruhan.

Mereka turut diberi pendedahan tentang cara menggunakan TinkerKit, sebuah platform pembangunan IoT, bagi membina projek mini mereka sendiri yang menggabungkan IoT, AI, dan Database. Dalam sesi praktikal, guru dan pelajar diajar bagaimana untuk merancang dan membangunkan projek yang kreatif dan inovatif yang mengintegrasikan teknologi-teknologi terkini.

Setiap sekolah diminta untuk membangunkan projek mini IoT yang mencabar para pelajar untuk merancang dan menghasilkan sistem IoT yang inovatif. Projek-projek ini dinilai oleh panel juri yang terdiri daripada pensyarah berpengalaman dalam bidang kejuruteraan, teknologi, dan inovasi.

Peserta menerangkan inovasi masing-masing kepada juri.

Penilaian dilakukan berdasarkan kriteria seperti kreativiti, fungsi, keberkesanan penyelesaian masalah, serta penggunaan teknologi yang tepat. Para juri turut
memberi perhatian kepada keaslian idea, kualiti teknikal, dan bagaimana elemen AI dan Database dapat meningkatkan keberkesanan projek tersebut.

Pada akhir pertandingan, lima hadiah disampaikan kepada pemenang. Anugerah Kecemerlangan Inovasi telah dimenangi oleh Maktab Sultan Abu Bakar, manakala Anugerah
Inovasi Terbaik dianugerahkan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, SMK Agama Bandar Penawar, SMK Permas Jaya, dan SMK Mutiara Rini. Semua
projek yang dipertanding menunjukkan tahap kecemerlangan yang amat mengagumkan dengan penggunaan teknologi IoT, AI, dan Database yang sangat kreatif dan inovatif.

“Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar untuk mempelajari teknologi terkini seperti IoT, AI, dan pangkalan data (database), tetapi juga membekalkan mereka dengan kemahiran teknikal yang amat penting dalam dunia moden yang semakin bergantung kepada inovasi dan teknologi. Adalah diharapkan program ini akan terus menjadi platform yang mendorong pelajar untuk menghasilkan lebih banyak idea dan projek inovatif pada masa hadapan,” kata Dr Mohd Azhar lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here