Empat suspek termasuk seorang wanita tempatan direman bagi membantu siasatan kes pemerdagangan manusia di Mahkamah Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini.

BALIK PULAU – Tiga warga asing dan seorang wanita tempatan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes pemerdagangan manusia membabitkan seorang wanita warga Nigeria untuk tujuan eksploitasi seks di negeri ini.

Perintah reman terhadap masing-masing dua lelaki dan wanita yang berusia 24 hingga 35 tahun itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Butterworth, S. Janice Brenda di Mahkamah Balik Pulau.

Perintah reman bermula hari ini dibenarkan bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Difahamkan, kesemua suspek yang terdiri daripada pasangan kekasih itu diberkas polis dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Bayan Lepas, di sini, semalam.

Tangkapan itu dilakukan susulan pihak polis menerima laporan daripada mangsa berusia 25 tahun yang mendakwa dieksploitasi sebagai pekerja seks.

Wanita berkenaan dikatakan datang ke negara ini susulan salah seorang suspek menawarkan pekerjaan sebagai tukang cuci.

Bagaimanapun, setibanya di negara ini, mangsa telah dipaksa menjadi pelacur dengan bayaran ratusan ringgit bagi setiap seorang pelanggan warga asing.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan tangkapan dan memaklumkan sidang media berhubung kes ini akan dibuat esok di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here