SHAH ALAM – Keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menarik semula penggantungan keahlian Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai ahli parti kerana kesungguhan beliau untuk kembali kepada parti itu.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia dibuktikan apabila bekas Ahli Parlimen Pasir Salak itu tidak putus asa apabila menghantar surat rayuan sebanyak empat kali kepada MKT UMNO.
Pada masa, jelas beliau, Tajuddin juga sanggup turun berkempen untuk UMNO pada Pilihan Raya Kecil Nenggiri dan Mahkota sebelum ini.
“Beliau juga hadir Perhimpunan Agung UMNO dan saya tidak nampak kenapa MKT tidak bersetuju dengan rayuan beliau.
“Jika ada lain-lain ahli yang melakukan tidak yang sama seperti mana dibuktikan oleh Datuk Seri Tajuddin Rahman, saya tidak nampak ahli MKT tidak boleh lakukan keputusan yang sama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Barisan Nasional Negeri Selangor 2024 di sini hari ini.
Minggu lalu, MKT UMNO sebulat suara memutuskan untuk melepaskan dan menarik semula penggantungan keahlian Tajuddin berkuat kuasa serta-merta.
Tajuddin sebelum ini digantung keahlian selama enam tahun bermula September 2022 kerana kesalahan mengkritik parti antara lain berkait tempoh masa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Surat keputusan yang bertarikh 21 Jun 2022 juga tular di media sosial. – MalaysiaGazette