Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman ketika ditemui media selepas Navy Run 24 di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR – Seramai 5,600 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah digerakkan untuk membantu mereka yang terjejas akibat banjir di kawasan Pantai Timur.

Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Mohammad Ab Rahman memaklumkan pihaknya telah memberi arahan berkenaan misi bantuan itu kepada para anggota sejak September lalu.

“Mereka sudah pun bersedia. Namun sekiranya ada keperluan penambahan anggota, komander bertugas di kawasan itu akan mengambil tindakan dan kita akan gerakkan tentera dari negeri yang belum lagi terjejas.

“Apabila diperlukan, ATM semestinya akan bersedia berkhidmat daripada pelbagai aspek seperti membantu calon Sijil Pendidikan Malaysia (SPM) yang perlu menduduki peperiksaan dan pengagihan bantuan oleh kerajaan negeri.

“Jika ditanya tentang Jambatan Bailey, hanya sedikit sahaja yang diletakkan di bawah ATM dan selebihnya adalah di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR). Walaubagaimanapun, jika jambatan ini perlu dipasang, ATM akan sedia menghulurkan bantuan, ” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Navy Run di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini hari ini.

Mohammad berkata, kekuatan anggota terkini iaitu seramai 120,000 orang mencukupi jika perlu digerakkan serentak untuk misi bencana banjir.

“Sebahagian daripada mereka telah pun digerakkan manakala yang lain dalam mod bersedia,” tambahnya.

Navy Run 24 yang dianjurkan tahun ini adalah edisi kedua ini selepas penganjuran kali pertama pada tahun lalu.

Orang ramai masih semangai menyertai larian walaupun dalam suasana hujan lebat ketika acara Navy Run 24 di Dataran DBKL, pagi tadi.

Turut hadir sama dalam acara itu adalah Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain serta Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad.

Walaupun cuaca pagi hujan lebat, larian itu tetap menerima sambutan meriah daripada anggota ATM, veteran, selebriti tempatan dan komuniti awam sekitar ibu kota. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast