PASIR GUDANG – Kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri di negeri ditadbir pembangkang dalam mengurus dan menghadapi banjir wajar dipuji kerana kedua-dua dapat mengenepikan kepentingan politik sebaliknya mengutamakan rakyat.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata, kerjasama yang baik itu dapat dilihat di negeri dilanda bajir yang teruk terutama di Kelantan dan Terengganu.
“Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Terengganu dan dapat lihat kerjasama dengan kerajaan negeri Terengganu baik.
“Bencana banjir ini ada hikmahnya apabila tunjukkan kerjasama antara Pusat dan negeri saling membantu demi rakyat.
“Politik nanti, kita tunggu masa yang sesuai. Masa pilihan raya umum nanti kita berlawanlah. Tapi masalah rakyat kali ini (banjir) kita (kerajaan negeri dan Pusat) hadapi bersama-sama,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas meninjau kerja-kerja menampal jalan di kawasan sering kemalangan di Lebuhraya Pasir Gudang di sini hari ini.
Dalam pada itu, Hassan menyifatkan keputusan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menangguhkan Kongres Nasional 2024 di Johor pada pertengahan bulan ini adalah tepat.
Bekas Pengerusi PKR Johor itu berkata, langkah tersebut akan membolehkan tumpuan diberikan untuk membantu beberapa negeri terjejas banjir ketika ini.
“Penangguhan dibuat pucuk pimpinan PKR itu menunjukkan parti sudah membuat keputusan yang bijaksana dengan mendahulukan kepentingan rakyat.
“Itu saya sambut baik (keputusan tangguh), hari ini sudah 1 Disember, ikutkan kongres akan berlangsung lagi dua minggu.
“Banjir ini ada gelombang satu dan dua, jadi saya rasa kongres boleh ditangguh dan itu satu keputusan yang bijaksana dengan memikirkan rakyat dan mangsa banjir sudah lebih 150,000 orang, malah rumah MB (Menteri Besar) pun sudah naik air,” katanya.
Semalam, PKR memutuskan untuk menangguhkan Kongres Nasional 2024 yang dijadualkan Disember ini ekoran banjir di beberapa negeri ketika ini.
Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dicapai pada mesyuarat Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu yang berlangsung pada Sabtu.
Kongres Nasional PKR 2024 dijadualkan berlangsung pada 15 Disember depan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor manakala Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita ditetapkan sehari sebelum itu di lokasi berbeza.
Pada masa sama, MPP sudah memutuskan bahawa satu Kongres Khas bagi meminda Perlembagaan parti akan tetap diadakan pada 15 Disember 2024. – MalaysiaGazette