KUALA NERANG – Kejadian banjir di Kampung Kuala Janing dan Kampung Semeliang di sini bermula Rabu lalu disifatkan penduduk sebagai yang terburuk pernah berlaku di kawasan itu selepas 14 tahun.

Menceritakan detik cemas itu, Mohd Shukri Abdul Hamid, 48, berkata, mereka lima sekeluarga hanya sempat menyelamatkan diri serta dokumen peribadi sahaja berikutan air naik dalam tempoh singkat.

“Air naik tengah pagi jadi memang agak cemas dan ketika itu saya hanya fikir cara untuk keluarkan anak-anak yang berusia antara lapan hingga 15 tahun ke tempat tinggi dan selamat.

Mohd Shukri bersama isterinya, Siti Khalijah menunjukkan laluan serta rumah mereka dinaiki air sehingga paras pinggang akibat banjir.

“Saya dan isteri, Siti khalijah Ismail (43 tahun) tak buat sebarang persiapan hadapi banjir kerana kali terakhir kali berdepan situasi sebegini pada November 2010.

“Dalam tempoh 14 tahun ini, kalau hujan pun air tak masuk dalam rumah selalunya setakat batas (laluan) luar sahaja sebab itu banjir kali ini disifatkan terburuk,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Mohd Shukri, mereka sekeluarga mengalami kerugian besar susulan semua perkakasan rumah rosak termasuk pakaian, buku sekolah anak-anaknya.

Bagi, Mohd Zahrin Md Zain, 44, pula, bencana kali ini sesuatu yang di luar jangka kerana kawasan perumahan tersebut sudah lebih satu dekat tidak dinaiki air.

“Pertama kali berlaku banjir 14 tahun lepas dan ini kali kedua pada tahun ini.. Hujan lebat pada malam Rabu dan kira-kira 3 pagi air mula naik.

Mohd Zahrin.

“Persiapan hadapi banjir tu kami buat selalu tapi kali ini air naik melangkaui jangkaan sampai barang yang ditempatkan di tinggi turut gagal diselamatkan,” katanya yang sudah menetap di pusat penempatan sementara sejak Khamis lalu.

Sementara itu, bagi peniaga makanan sejuk beku di Kampung Semeliang di sini, Jamenah Awang, 69, kesemua stok barangan asas perniagaannya rosak akibat banjir.

Jelasnya, mereka sekeluarga hanya boleh memasuki kawasan perumahan semalam selepas menetap di PPS Sekolah Kuala Nerang sejak Khamis.

“Baru semalam balik rumah itu pun buang air dalam rumah dan keluarkan perkakasan.. hari ini  baru kami nak cuci semua.

Ahli keluarga Jamenah sedang membersihkan rumah mereka yang terjejas akibat banjir.

“Benda yang jadi kali ini mengejutkan kerana kali terakhir banjir teruk 14 tahun lalu dan meskipun kami buat persiapan tapi keadaan arus air banjir deras (laju) membuatkan banyak barang termasuk stok barangan asas perniagaan rosak.

“Kalau nak tanya berkenaan jumlah kerugian saya tak dapat nilaikan tapi boleh kata pendapatan bulanan kami terjejas dan mungkin mengambil masa berbulan untuk pulih seperti sedia kala,” katanya.

Terdahulu, tinjauan MalaysiaGazette mendapati rata-rata penduduk di daerah Padang Terap sudah mula pulang dan bersihkan rumah masing-masing. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here