JOHOR BAHRU – Seorang guru wanita rugi RM243,000 selepas terpedaya dengan taktik scammer yang mendakwanya terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, kes tersebut bermula apabila mangsa yang berusia 39 tahun menerima panggilan telefon pada 5 November lalu.
“Mangsa menerima panggilan telefon daripada suspek yang tidak dikenali memperkenalkan diri sebagai pegawai dari Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan (NFCC).
“Suspek memberitahu akaun bank mangsa terlibat dalam aktiviti penipuan. Bagi meyakinkan mangsa panggilan telefon disambungkan kepada individu kedua yang mengaku sebagai pegawai dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak,” katanya dalam kenyataan.
Mangsa kemudian diberitahu namanya terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.
Menurut beliau, mangsa kemudian diminta untuk memindahkan wang ke dalam akaun bank yang diberikan suspek untuk tujuan audit dan pembersihan rekod.
Percaya denga kata-kata suspek, mangsa membuat sembilan kali pindahan wang melalui mesin ATM ke dalam dua akaun berbeza berjumlah RM243,000.
Beliau memberitahu, traksaksi tersebut dilakukan dari 5 sehingga 23 November lalu.
“Mangsa menyedari ditipu apabila terus didesak mangsa untuk membuat pembayaran tambahan lalu mangsa tampil membuat laporan polis,” ujarnya.
Kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu, jika sabit kesalahan boleh dipenjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebat serta denda.
“Selain itu tindakan juga akan meliputi penglibatan keldai akaun di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan berkaitan instrumen pembayaran atau akaun institusi kewangan.
“Bagi seseorang yang terlibat dalam mana-mana transaksi seperti yang diperuntukan bawah seksyen ini, jika sabit kesalahan boleh dihukum antara RM5,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara enam bulan hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Pihaknya menyeru orang ramai supaya sentiasa berhati-hati terhadap taktik penipuan phone scam yang semakin berleluasa.
“Jangan sekali-kali dengan panggilan telefon yang meminta maklumat peribadi, butiran akaun bank atau meminta wang dipindahkan kepada pihak lain.
“Sentiasa semak identiti pemanggil dengan menghubungi pejabat atau agensi berkaitan melalui nombor telefon rasmi atau hadir ke mana-mana pejabat berkaitan untuk pengesahan,” katanya. – MalaysiaGazette