ISKANDAR PUTERI – Datuk Onn Hafiz Ghazi memohon kerajaan Persekutuan menimbang pemberian 20 peratus hasil cukai dikutip di negeri ini disalurkan kembali kepada Johor.
Menurut Menteri Besar Johor, kerajan negeri merayu pertimbangan permohonan tersebut kerana penting untuk limpahan manfaat dan pembangunan rakyat di negeri itu.
Pada masa yang sama, katanya, permohonan tersebut adalah selari dengan titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
“Kerajaan Negeri Johor sekali lagi memohon dan merayu kepada kerajaan Persekutuan agar mempertimbangkan pemberian sekurang-kurangnya 20 peratus daripada hasil cukai yang dikutip di negeri ini untuk disalurkan kembali kepada Johor.
“Permohonan ini amat penting bagi memastikan Bangsa Johor terus mendapat limpahan manfaat hasil negeri dan untuk memastikan pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan lebih komprehensif, demi kesejahteraan generasi kini dan akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ucapan penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini hari ini.
Ketika ditanya Speaker DUN Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengenai jumlah sebenar permohonan cukai yang diminta adakah 20 peratus atau 30 peratus, Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri memohon 20 peratus dan peringkat awal 10 peratus terlebih dahulu.
“20 peratus dahulu, kalau dapat 10 peratus dulu pun tidak mengapa. Contoh Seri Medan meminta peruntukan RM10 juta (pembangunan) di Johor terdapat 56 DUN, bayangkan sudah hampir setengah billion.
“Banyak perkara yang kita nak buat (pembangunan) di kawasan masing-masing,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap.
Pada 11 Jun lalu, Onn Hafiz dilaporkan berkata, kerajaan Johor memohon kerajaan Persekutuan supaya 30 peratus hasil cukai negeri diberikan kepada Johor.
Ujarnya, ini bagi memastikan Bangsa Johor terus mendapat limpahan hasil negeri untuk segala pembangunan negeri ke tahap yang lebih baik. – MalaysiaGazette