JOHOR BAHRU – Jumlah mangsa banjir di Johor berkurangan kepada 528 orang melibatkan 139 keluarga yang berlindung di 16 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 4 petang tadi.
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, jumlah itu berbeza dengan 767 orang daripada 219 keluarga yang ditempatkan di 19 PPS pada pukul 2 petang tadi.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memberitahu, hanya Segamat merupakan daerah yang dilanda banjir di Johor selepas semua PPS di Tangkak tutup.
“Paling ramai mangsa banjir adalah dari Kampung Seberang Batu Badak melibatkan 86 orang diikuti Kampung Pudu dan Kampung Orang Asli Puting, masing-masing seramai 32 orang.
“Di Kampung Awat (15), Kampung Gubah (14), Kampung Seremin (8) dan Kampung Bukit Tunggal (7),” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu katanya, tiga sungai di negeri ini dilaporkan melepasi paras bahaya iaitu Sungai Tangkak di Kampung Seri Ma’amor pada paras 4.02 meter (m) berbanding paras bahaya 4 meter.
Seterusnya, Sungai Muar di Buloh Kasap (9.70m berbanding 9.14m) dan di Jeti Kampung Tekam (4.07m berbanding 4.00m). – MalaysiaGazette