KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Tinggi India di Malaysia mengumumkan edisi kelima Bharat Ko Janiye (Kenali India) Quiz 2024-2025 yang telah dibuka untuk penyertaan sejak 11 November lalu hingga 11 Disember depan.
Dalam satu kenyataan kepada MalaysiaGazette, Suruhanjaya Tinggi India berkata, kuiz dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Hal Ehwal Luar Negeri India, Dr. S. Jaishankar yang terbuka kepada kaum India yang menetap di luar negara (NRI), keturunan India (PIO) dan warganegara asing.
“Kuiz ini adalah inisiatif utama kerajaan India untuk menggalakkan pemahaman yang lebih mendalam tentang warisan budaya, sejarah dan kemajuan kontemporari dalam kalangan komuniti diaspora India dan warganegara asing.
“Untuk makluman kuiz ini pertama kali diperkenalkan pada tahun 2015 oleh Perdana Menteri India, Narendra Modi semasa sambutan Pravasi Bharatiya Divas dan sejak itu sebanyak empat edisi telah berjaya dianjurkan,” kata kenyataan yang sama.
Pendaftaran percuma dan terbuka kepada peserta yang berumur antara 14 hingga 50 tahun di portal rasmi www.bkjquiz.com, yang juga menyediakan panduan, soalan contoh serta kuiz percubaan.
Sebanyak 30 peserta terbaik (15 dari setiap kategori) akan dipilih untuk menyertai program Bharat Ko Janiye Yatra iaitu lawatan khas selama dua minggu ke India.
Pemenang juga akan dijemput menghadiri sambutan Pravasi Bharatiya Divas ke-18 di Bhubhaneshwar pada 8 hingga 10 Januari 2025.
Suruhanjaya Tinggi India menggalakkan semua pihak untuk mengikuti halaman media sosial rasmi mereka bagi maklumat terkini.
“Inilah peluang untuk mendalami dan menghargai keindahan warisan India,” katanya. -MalaysiaGazette