SEGAMAT – Disebabkan tidak mahu rugi, seorang penternak sanggup membeli sampan fiber untuk digunakan bagi menyelamatkan 500 ayam ternakannya semasa banjir.
Zuraini Mohamad, 55, dari Kampung Pogoh 2, di sini, berkata, keputusannya adalah tepat bagi mengelak kerugian besar setiap tahun seperti dialami sebelum ini.
Katanya, banjir kali ini sekali lagi menguji beliau namun sudah bersiap sedia dengan sampan fiber untuk memindahkan semua ayam ternakannya di reban.
Dia yang menternak ayam sepenuh masa sanggup mengeluarkan modal RM3,500 dan membeli sampan fiber itu beberapa minggu lalu sebagai ‘talian hayat’ menyelamatkan ternakannya.
Zuraini sanggup menaiki sampan fiber itu dalam kesejukan selama lebih lapan jam bagi menyelamatkan ayamnya daripada mati dihanyutkan banjir.
“Saya ambil masa selama hampir setengah hari sebelum berjaya memindahkan dari reban sejauh kira-kira 100 meter kesemua ayamnya sebanyak 500 ekor ke lokasi selamat.
“Sampan fiber ini akan saya ikat di tiang reban ketika memindahkan ayam agar tidak dihanyutkan air dan menyelamatkan ayam saya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui, hari ini.
Menurutnya, setiap kali kampung itu dilanda banjir, paras air banjir akan meningkat sehingga enam meter sekali gus menyebabkan semua ayam peliharaannya mati.
“Pernah suatu ketika dilanda banjir, saya mengalami kerugian lebih RM10,000 selepas ayam ternakan mati akibat dihanyutkan air.
“Bagi menyelesaikan masalah itu, banjir kali ini, saya mencari idea dan menjadikan sampan fiber itu seperti pengangkutan ‘talian hayat’,” katanya.
Zuraini berkata, kampung berkenaan sering ditenggelami air setiap kali tiba musim tengkujuh akibat limpahan Sungai Pogoh yang berhampiran penempatan penduduk.
Penternak di kampung berkenaan dakwanya, sudah lali dengan banjir dan sentiasa bersiap sedia dari awal sebelum tiba musim tengkujuh.
“Saya menternak ayam kampung yang dikacukkan dengan baka ayam hutan sejak lapan tahun lalu sebagai pendapatan sekeluarga.
“Setiap ayam saya jual antara RM45 hingga RM60 bergantung kepada baka yang dikacukkan,” katanya. – MalaysiaGazette