SHAH ALAM – Barisan Nasional (BN) perlu terus bekerja keras untuk memenangi hati rakyat biarpun kini parti gabungan tidak lagi mewah seperti dahulu.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, wang kini bukan lagi menjadi keutamaan kerana BN pernah kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu walaupun mempunyai dana yang kukuh ketika itu.
Justeru beliau yang juga Presiden UMNO menyeru ahli BN agar tidak menjadikan alasan tiada wang untuk tidak bekerja bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
“Masa PRU-14, kita sangat mewah, adakah dapat bentuk kerajaan? Duit bukan segala-galanya walaupun segalanya memerlukan duit. Jangan guna alasan duit untuk tak bekerja.
“Tanya PKR, tanya Amanah, lebih miskin lagi (berbanding BN) sehingga sekarang. Duit bukan keutamaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen BN Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menaruh harapan tinggi agar konvensyen dijadikan sebagai platform komponen BN untuk merangka beberapa pelan strategik dan meraih semula sokongan pengundi.
“Barisan Nasional Selangor sedang melalui satu fasa pemulihan dan pemerkasaan. Marilah kita bersama-sama bertekad dan berusaha untuk mengembalikan kegemilangan Barisan Nasional di Selangor.
“Jangan hanya bergantung kepada pengundi tradisional kita tetapi juga membuka ruang untuk lebih banyak penglibatan dari pengundi muda dan golongan profesional,” katanya lagi. – MalaysiaGazette