Sekitar Majlis Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan MPP UTeM Sesi 2024/2025 di salah sebuah hotel di Ayer Keroh, Melaka.

MELAKA – Pemerkasaan kepimpinan barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) adalah seiringan dengan kedinamikan pemacuan transformasi universiti termasuk kepekaan terhadap perubahan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin berkata, MPP UTeM terus dinamik menerajui kepimpinan pelajar di samping menjulang kemajuan semasa universiti, pembangunan mahasiswa dan mahasiswi holistik berdaya saing tinggi serta akuran kepada AUKU.

Jelasnya, agenda itu menjadi tunjang utama yang mewarnai serta merefleksikan pemerkasaan kepimpinan MPP UTeM agar terus memberikan perkhidmatan terbaik, menjadi suara mahasiswa yang efektif serta memastikan setiap program yang dirancang dapat memberikan impak positif kepada komuniti kampus.

“Pemilihan kepimpinan mahasiswa kini sepenuhnya dilaksanakan oleh pelajar, mencerminkan autonomi dan kepercayaan yang diberikan kepada generasi muda dan ia adalah selari dengan pindaan AUKU 2024 yang membolehkan mahasiswa berpolitik secara sah, baik di dalam mahupun di luar kampus.

“Autonomi ini turut merangkumi aspek pengurusan aktiviti dan kewangan pelajar, yang merupakan langkah besar dalam memastikan kebolehan mahasiswa mentadbir dan memimpin dengan lebih efektif.”

Beliau berkata demikian sewaktu Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan MPP UTeM Sesi 2024/2025, Apresiasi MPP UTeM Sesi 2023/2024 dan Penghargaan Jawatankuasa Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (JPMPP) 2024 yang diadakan di salah sebuah hotel di Ayer Keroh, Melaka, baru-baru ini.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif pula mengharapkan kepimpinan MPP UTeM terus bernafas segar memacu kepimpinan pelajar UTeM.

Katanya, majlis penyerahan watikah pelantikan bukan sekadar simbolik, tetapi menjadi titik tolak ke arah pembentukan mahasiswa yang lebih matang, berintegriti dan bertanggungjawab.

Sementara itu, dalam ucapan semasa pembentangan kabinet MPP sesi 2024/2025 oleh Yang Dipertua MPP baharu UTeM, Affi Syahfizal berkongsi betapa pentingnya kerjasama antara mahasiswa dan pengurusan universiti.

“MPP menyedari tanggungjawab besar yang telah diamanahkan dan berharap autonomi yang diberikan kepada mahasiswa dapat diperluaskan secara berperingkat yang mana mahasiswa kini bukan sahaja dianggap sebagai pelengkap akademik universiti tetapi juga sebagai pemimpin masa depan yang mampu membawa transformasi positif untuk masyarakat dan negara.

“Dengan pendekatan tema “Membangun Potensi, Menggerah Transformasi”, kami MPP baharu bertekad untuk mencapai harapan besar dan mencipta perubahan yang lebih bermakna dalam landskap kepimpinan mahasiswa di UTeM,” ujarnya.

Majlis berkenaan  telah dirasmikan oleh Setiausaha Politik Menteri Pendidikan Tinggi, Akmal Zharif dan dalam ucapannya menyatakan agenda pemerkasaan mahasiswa ini berupaya membina keyakinan diri mahasiswa dalam menguruskan organisasi mereka sendiri.

“Dengan sokongan penuh daripada pihak universiti, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan rakan strategik, MPP sesi 2024/2025 berada di landasan tepat untuk merealisasikan agenda pemerkasaan mahasiswa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here