PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan Ujian Bertutur Bahasa Melayu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diteruskan seperti yang dijadualkan pada 2 hingga 5 Disember ini.
Menurut beliau, Kementerian Pendidikan (KPM) telah bersiap sedia melaksanakan peperiksaan ini dalam situasi banjir dengan berpandukan Prosedur Operasi Standard (SOP) Ops Payung.
“KPM juga mempunyai Pelan Tindakan Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL). Pekeliling berkaitan MTL telah diedarkan kepada warga KPM pada 22 Oktober lepas manakala ‘Program Kesiapsiagaan Menghadapi MTL’ pula dilancarkan pada 28 Oktober lepas,” katanya kepada media di sini hari ini.
Fadhlina memaklumkan KPM bekerjasama erat dengan agensi seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar.
“Keputusan untuk meneruskan Ujian Bertutur SPM diteruskan selepas nasihat NADMA selain mengambil kira ramalan situasi MTL oleh MET Malaysia yang dijangka berlanjutan sehingga Februari 2025,” katanya lagi.
Dalam pada itu, kata Fadhlina, setakat ini, angka calon terjejas akibat banjir melibatkan Kelantan (3,111 calon), Terengganu (1,734 calon) dan Kedah (532 calon).
“Calon-calon ini telah atau akan dipindahkan ke asrama atau pusat peperiksaan alternatif bagi memastikan mereka dapat menduduki peperiksaan dengan selesa dan mengikut jadual.
“KPM juga akan menyalurkan keperluan tambahan kepada asrama, termasuk penyediaan makanan yang berkualiti. Sokongan psikososial turut disediakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk membantu calon yang terkesan,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan calon dibenarkan memakai pakaian bersesuaian dan alat tulis akan disediakan oleh JPN bagi calon yang tidak mempunyai kelengkapan manakala calon persendirian boleh terus hadir ke pusat alternatif bagi memastikan tiada yang tercicir.
“KPM juga telah bersedia sepenuhnya dengan langkah-langkah sokongan seperti menggantikan petugas peperiksaan yang terjejas dengan petugas baharu.
“Dengan langkah-langkah ini, KPM optimis bahawa peperiksaan SPM akan dapat dilaksanakan tanpa gangguan besar meskipun menghadapi cabaran musim banjir,” katanya lagi.
KPM memaklumkan peperiksaan SPM 2024 akan bermula Isnin ini hingga 6 Februari depan.
Seramai 402,956 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2024 yang membabitkan 3,337 pusat peperiksaan di seluruh negara, dengan 126,636 petugas dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan. -MalaysiaGazette