Insiden Kapal Diraja (KD) Pendekar karam di perairan Tanjung Penyusop, Johor pada 25 Ogos lalu, yang turut mengorbankan seorang penyelam ranjau ketika operasi penyelamatan dilakukan memberi peringatan jelas tentang peri penting pemodenan aset diberikan perhatian.
Ini kerana, menurut laporan siasatan Lembaga Siasatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), punca insiden ini adalah disebabkan faktor kesilapan pandu arah dan keusangan kapal sehingga menyebabkan kebocoran kapal merebak secara pantas ke kompartmen lain.
Insiden ini sebenarnya menunjukkan bahawa pemodenan aset ketenteraan masih menjadi cabaran utama sektor pertahanan negara biarpun pelbagai usaha giat dilaksanakan beberapa tahun kebelakangan ini. Kos yang tinggi menjadikan pemodenan aset terpaksa dilakukan dalam skala yang perlahan. Dalam erti kata lain, bersesuaian dengan persidangan Parlimen yang kini rancak membahaskan Bajet 2025, peruntukan dalam sektor pertahanan mesti berpijak pada realiti dan menjawab keperluan pertahanan negara dengan cara yang lebih berkesan.
Jika diteliti, kapal buatan Sweden yang digunakan oleh TUDM tersebut telah menjangkaui usia 45 tahun yang dibuat sekitar tahun 1978. Dalam rekod, Malaysia hari ini masih mempunyai kira-kira 14 kapal FAC ‘vintaj’ tersebut. Sedangkan beberapa negara telah menamatkan aset-aset ‘tradisional’ seperti ini untuk mengurangkan pelbagai risiko tidak terjangka. Negara Singapura misalnya, telah menamatkan perkhidmatan kapal FAC yang seusia dengan KD Pendekar sekitar 16 tahun yang lalu dan digantikan dengan model-model baharu yang lebih canggih.
Pada Mac 2023, Singapura melalui ST Engineering membina enam kapal tempur yang boleh berfungsi sebagai kapal induk drone Multi-Role Combat Vessels (MRCV) yang turut menjalinkan teknologi kapal dengan pengemudi dan tanpa pengemudi. Perkembangan ini menjadikan Singapura sebagai antara negara yang mempunyai kecanggihan aset lautan yang lebih baik berbanding negara-negara jiran sekitar.
Biarpun di atas kertas tiada keperluan untuk Singapura melaburkan berbilion-bilion ringgit ke atas aset sedemikian, terutama apabila negaranya yang kini berada dalam keadaan aman, pertimbangan ini sebenarnya berkait rapat dengan teori pencegahan. Teori ini adalah salah satu cabang dalam hubungan antarabangsa yang menjelaskan tentang usaha untuk mencegah serangan daripada berlaku.
Aset Pertahanan sebagai Medium Pencegahan
Dalam membincangkan teori kepentingan pendekatan pencegahan dan persiapan awal ini, penulis amat bersetuju dengan pandangan dan kenyataan Menteri Pertahanan, YB Dato Seri Mohamed Khaled Nordin yang menghujahkan kepentingan peruntukan yang besar dalam sektor pertahanan sekali pun Malaysia sedang berada dalam keadaan aman.
Ini kerana, seperti yang beliau tegaskan, walaupun negara berada dalam keadaan aman, peruntukan pertahanan yang mencukupi adalah keperluan strategik dan bukan kemewahan. Dalam konteks teori deterrence, peruntukan pertahanan yang berterusan adalah langkah proaktif untuk mengekalkan keamanan. Pendekatan ini membentuk satu credible threat atau ancaman yang dipercayai oleh pihak luar.
Menurut teori yang dikembangkan oleh ahli ekonomi Amerika Syarikat, Thomas Crombie Schelling, kekuatan ketenteraan yang dipamerkan oleh sesebuah negara mampu membuat pihak lawan berfikir dua kali sebelum cuba mengancam, kerana mereka sedar bahawa tindakan agresif akan dibalas secara setimpal. Perkara ini juga pernah disebut oleh YB Menteri Pertahanan semasa Januari lalu dalam Amanat Tahun Baharu 2024 apabila beliau menegaskan ‘kepentingan meningkat kesiagaan ATM agar kita dihormati kawan dan lawan’.
Kesemua ini menjadi asas yang menjelaskan mengapa perbelanjaan pertahanan sering berada dalam kelompok antara tertinggi dalam mana-mana belanjawan negara di dunia. Ini kerana, perbelanjaan pertahanan yang tinggi bukan sekadar berkaitan dengan persenjataan. Tetapi juga mencerminkan dua cabang teori pencegahan, iaitu deterrence by denial dan deterrence by punishment, yang berfungsi untuk melindungi negara daripada ancaman luar.
Deterrence by denial bermakna negara berada dalam kedudukan yang kukuh untuk menangkis atau menafikan ancaman, dengan kelengkapan moden, latihan berterusan, serta kesediaan strategik yang mampu menghadapi sebarang serangan secara langsung. Sebaliknya, deterrence by punishment menunjukkan keupayaan negara untuk membalas sebarang tindakan agresif dengan kekuatan yang menimbulkan kos yang berat kepada pihak lawan.
Kedua-dua elemen ini penting dalam sektor pertahanan negara dalam memastikan negara ini tidak mudah dieksploitasi dengan membentuk satu amaran psikologi bahawa dengan tindakan mengancam negara ini adalah sebagai satu langkah berisiko tinggi bagi mana-mana pihak luar.
Perkukuh Keselamatan Tradisional dan Bukan Tradisional
Hari ini, ancaman bukan lagi terhad kepada serangan fizikal; serangan siber, misalnya, telah menjadi salah satu taktik paling berkesan untuk melemahkan pertahanan negara tanpa melepaskan sebutir peluru. Data daripada PURPLESEC Security Insights menunjukkan insiden cybersecurity menyaksikan peningkatan sehingga 600% sejak bermula pandemik global, serta peningkatan 350% serangan ransomware di seluruh dunia.
Berdasarkan perkembangan ini, tidak hairan apabila trend global mula meningkatkan peruntukan sektor cybersercurity masing-masing. Dalam hal ini, Malaysia perlu bertindak sama dan tidak ketinggalan kerana ia berisiko menjadikan Malaysia sebagai sasaran mudah. Melalui peruntukan yang kondusif, kemampuan dalam mewujudkan nuansa cyber deterrence, terutamanya dalam melindungi sistem maklumat dapat diperkasa. Amaran ‘tidak langsung’ yang bersifat mencegah dapat diwujudkan dengan memberi sedikit ‘ugutan’ lunak kepada pelaku berpotensi.
Bagaimanapun, fokus meningkatkan keselamatan tradisional turut tidak terkecuali dalam lingkungan ini. Pemodenan aset-aset yang lebih kontemporari dan canggih berpotensi menjadi medium pencegahan daripada dibuli oleh kuasa-kuasa besar. Mengambil kira sikap China yang semakin kerap memasuki perairan negara kebelakangan ini, ia memberi mesej jelas bahawa aset-aset yang digunakan dalam menjaga perairan negara perlu segera dinaiktaraf.
Kerajaan secara umumnya mesti melihat perkara ini sebagai satu agenda nasional yang merentas tanggungjawab Kementerian Pertahanan dan ATM. Pada Jun 2024 yang lalu, Kementerian Pertahanan telah menyerahkan Surat Setuju Terima pembelian tiga Kapal Misi Pesisir (LMS) batch kedua kepada syarikat pertahanan Turkiye Savunma Teknolojileri Muhendislik (STM).
Pembelian tersebut adalah salah satu daripada hasil inovasi pendekatan antara kerajaan (G2G) yang diambil oleh Kerajaan Malaysia dan Republik Turkiye. Ia bukan sahaja menjadi satu inovasi kritikal dalam usaha memodenkan aset ketenteraan negara. Tetapi turut membuka satu kerjasama yang lebih strategik dalam pelbagai domain pertahanan yang tidak bersifat tradisional.
Dalam perspektif mana sekali pun kita membahaskan isu kesiagaan pertahanan negara, kita mesti ‘menggigit peluru’ realiti yang pahit. Iaitu, kita memerlukan pemodenan aset dengan segera dan terancang. Dan perkara tersebut adalah sesuatu yang mahal dan akan pastinya ‘mengoyakkan poket’ negara.
Namun, ia adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Dalam soal aset pertahanan yang kompleks ini—sama ada tradisional atau bukan tradisional – kita mesti akhirnya kembali kepada persoalan fundamental, iaitu kos dan keberkesanan perancangan masa panjang. Semoga peningkatan peruntukan dalam sektor pertahanan pada tahun hadapan akan membolehkan MINDEF dan ATM terus memastikan pemodenan aset-aset ATM dilaksanakan sekali gus meningkatkan kesiagaan pertahanan negara kita.
Oleh Fahmiza Mohamad Stephen
Penulis, sedang melanjutkan pengajian Doktor Falsafah di Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran (SEEDS), Universiti Kebangsaan Malaysia.