Menteri Republik Demokratik Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmão bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sidang ASEAN ke-43 baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Republik Demokratik Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmão mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia selama tiga hari bermula ariini.

Ini merupakan lawatan pertama beliau ke Malaysia selepas dilantik ke jawatan tersebut pada 1 Julai 2023.

TYT Xanana Gusmão akan diraikan dalan satu Majlis Sambutan Rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya, diikuti dengan mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kedua-dua pemimpin dijangka akan menilai kemajuan hubungan dua hala serta potensi kerjasama antara kedua-dua negara pada masa hadapan, kata kenyataan Kementerian Luar Negeri.

Kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, industry halal, pendidikan, pembangunan kapasiti, dan kesalinghubungan adalah antara perkara yang bakal dibincangkan oleh kedua-dua pemimpin semasa pertemuan tersebut.

Kedua-dua Perdana Menteri turut akan membincangkan isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan pemeteraian Perjanjian Konsesi Tanah berkenaan pemberian sebidang tanah oleh Kerajaan Republik Demokratik Timor-Leste bagi pembangunan Kompleks Canseri Kedutaan Besar Malaysia di Dili.

Pihak Timor-Leste telah berhasrat untuk menghadiahkan tanah tersebut kepada Malaysia sebagai tanda penghargaan di atas bantuan dan sokongan yang telah diberikan oleh Malaysia sejak sebelum kemerdekaan Timor-Leste lagi.

Selain itu, kedua-dua Perdana Menteri juga akan menyaksikan Pertukaran Nota bagi Pengaturan Pengecualian Visa yang akan memberikan kemudahan pengecualian visa kepada rakyat kedua-dua buah negara.

Perdana Menteri seterusnya akan menghoskan satu Majlis Makan Tengah Hari bagi meraikan Xanana Gusmão dan delegasi di Seri Perdana, Putrajaya.

Xanana Gusmão juga akan mengadakan Kunjungan Menghadap ke atas Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Semasa lawatan ini, TYT Xanana Gusmão juga dijangka akan menyampaikan syarahan umum bertajuk “International Diplomacy in an increasingly fragmented and fragile world” di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR).

Lawatan ini dilihat dapat mempertingkat usaha berterusan dalam memperkukuh hubungan baik dan mesra yang dinikmati selama ini serta membuktikan sokongan Malaysia dalam merealisasikan hasrat Timor-Leste untuk menjadi Negara Anggota Penuh ASEAN.

Pada tahun 2023, jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Timor-Leste mencatatkan jumlah USD43.7 juta (RM196.7 juta).

Jumlah eksport Malaysia ke Timor-Leste telah mencatatkan sebanyak USD43.3 juta (RM195.0 juta), manakala jumlah import produk daripada Timor-Leste pula telah mencatatkan sebanyak USD0.4 juta (RM1.7 juta). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here