SHAH ALAM – Tiada satu pun Kerajaan Persekutuan yang benar-benar menghormati Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang termaktub dalam Perlembagaan khususnya dalam mengembalikan bayaran 40 peratus hasil bersih kepada Sabah setakat ini.
Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, walaupun Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini menyatakan komitmen dan menghormati hak-hak yang diperuntukkan dalam MA63 kepada Sabah dan Sarawak namun ia masih tidak mencukupi.
“Tiada Kerajaan Persekutuan yang mahu dan hormat Perlembagan khususnya Perkara 112 C, Bahagian 4, Bahagian ke-10.
“Itu tidak cukup eloborasinya, kita mahu komitmen lebih jitu daripada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) 2.0,” katanya ketika sesi penggulungan dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu, di Pusat Konvensyen Ideal hari ini.
Menurut Ronald, walaupun bayaran itu dinaikkan dari RM200 juta kepada RM300 juta tahun depan namun tindakan Kerajaan Madani hari ini masih tidak mematuhi Perlembagaan Persekutuan.
“Kerajaan Ketimbang, bila mereka janji, mereka telah laksanakan sedikit, dia bagi dari RM200 juta kepada RM300 juta untuk tahun depan, RM600 juta dinaikkan pun tidak cukup kerana itu tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Beliau juga menggesa kepimpinan Bersatu untuk menjadikan komitmen itu sebagai janji yang paling jitu untuk rakyat Sabah sekiranya PN berjaya membentuk kerajaan dalam pilihan raya akan datang.
“Saya memohon sokongan perwakilan, kalau kita membentuk kerajaan terdekat atau pun hujung tiga tahun, melalui PRU akan datang, kita jadikan sebagai janji yang paling jitu untuk rakyat Sabah melalui kerajaan PN.
“Kalau kita jadikan ia sebagai komitmen perjuangan kita, saya yakin PRN akan datang pengundi-pengundi akan buka almari, ambil baru biru PN dan mengangkat kembali PN sebagai kerajaan Negeri Di Bawah Bayu.
“Yang itu akan membeza kita dengan parti-parti lain yang ada sekarang ini. Kita buat kelainan, kerana kita inklusif, kita hormati Perlembagaan, biar kita kerajaan pertama menghormati Perkara 112 C ini,” katanya.
Sementara itu, Ronald turut membidas naratif pemimpin parti politik tempatan kononnya hanya mereka sahaja boleh mentadbir Sabah sedangkan politik dan pengundinya dinamik serta sentiasa melakukan perubahan.
“Cabaran Sabah berbeza dengan tanah Semenanjung ini, kami tiada isu 3R, kami berhadapan dengan naratif politik yang dicipta pemimpin-pemimpin Sabah bahawa Sabah hanya boleh dipimpin oleh parti tempatan tapi kami tak percaya itu.
“Sebab itu kami bangkit bersama kehancuran yang dibuat oleh mereka dan bangunkan semula Bersatu di Sabah. Sabah istimewa, dia boleh berubah bila-bila masa.
“Sebab itu biasa di Sabah kalau tanding bebas pun boleh menang pilihan raya, calon bebas pun menang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), sebab kita praktikal.
“Sebab itu naratif Sabah for Sabahan, hanya parti tempatan, tidak terpakai bagi kami dan sebahagian besar Malaysia yang berada di Sabah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette