KULAI – Seorang lelaki warga emas ditemukan sudah tidak bernyawa dan ditemui dalam keadaan berlumuran darah di ruang tamu rumahnya di Taman Bahagia, Senai di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, lelaki warga tempatan berusia 67 tahun itu dipercayai tinggal berseorangan di rumah itu.
“Mayat seorang warga emas itu ditemukan dengan kesan tikaman di bahagian badan.
“Kita menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki tempatan pada pukul 11.42 pagi semalam yang memaklumkan berhubung kejadian terbabit.
“Pengadu memberitahu telah menjumpai rakannya dalam keadaan terbaring berlumuran darah di ruang tamu rumahnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Seng Lee berkata, hasil pemeriksaan ke atas tubuh badan mangsa mendapati terdapat kesan tikaman dipercayai menggunakan objek tajam.
“Tiada barangan hilang dari rumah mangsa dan kita masih menyiasat motif dan punca kejadian,” katanya dan memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pihak polis menggesa orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Nur Aniyah Ismail di talian 013-9792526 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai 07-6632222. – MalaysiaGazette