KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen telah mengeluarkan Notis Penolakan Masuk (NPM) kepada 29,572 pelawat asing sehingga kini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, notis itu dikeluarkan bagi memastikan pelawat yang memasuki Malaysia adalah tulen dan masuk secara sah.
“Setakat ini, kita melaksanakan pemeriksaan rambang kepada pengembara dan mewajibkan semua pelawat untuk menggunakan pengisian Kad Ketibaan Digital Malaysia (MDAC).
“Sistem itu perlu diguna pelawat bagi memudahkan pengesanan warga asing dan juga memastikan pelawat mempunyai tiket keluar semasa pemeriksaan imigresen untuk mengelakkan mereka tinggal lebih masa,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Sabri Azit (PN-Jerai) mengenai langkah yang dilakukan Jabatan Imigresen dalam mengawal kemasukan warga asing ke negara ini.
Sementara itu, Shamsul Anuar menjelaskan, pihak imigresen juga mempergiat dalam melaksanakan pengoperasian terutamanya di 224 lokasi hotspot untuk menangkap, dan mengusir warga asing.
“Sepanjang tahun 2024 iaitu sehingga 21 November 2024, Jabatan Imigresen telah melaksanakan sebanyak 18,163 operasi penguatkuasaan dengan tangkapan seramai 41,906 orang PATI.
“Kementerian akan meneruskan kerjasama strategik bersama agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan dalam membanteras pendatang asing tanpa izin di dalam negara. – MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast