ISKANDAR PUTERI – Along Singapura sudah tiga kali mengupah seorang remaja perempuan untuk membaling bom petrol dan cat merah ke rumah peminjam sekitar daerah ini bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, perbuatan itu dilakukan suspek yang berusia 17 tahun di Taman Bukit Indah, Kangkar Pulai dan Taman Damai Jaya.
Jelasnya, perbuatan itu berjaya dibongkar selepas pihaknya menahan suspek yang tidak lagi bersekolah pada 27 November lalu.
“Suspek mengaku terbabit dalam kejadian yang dilaporkan pada 27 November lalu di Taman Damai Jaya, Skudai serta dua lagi kes menggunakan taktik yang sama.
“Siasatan polis mendapati suspek menerima upah daripada sindiket pinjaman wang tanpa lesen atau along untuk membuat jenayah dengan cara khianat menggunakan api ke atas kediaman milik mangsa yang gagal melunaskan pembayaran pinjaman wang.
“Sindiket ini didapati bukan dari negara kita, sebaliknya dari Singapura berdasarkan nombor telefon yang tertera dalam nota ugutan adalah nombor talian dari republik itu,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini, hari ini.
Pada 28 November lalu, media melaporkan remaja berkenaan ditahan polis selepas membaling bom petrol sehingga mengakibatkan sebuah kereta terbakar di Taman Damai Jaya, sehari sebelum itu.
Kumarasan berkata, pihaknya merampas dua notis ugutan yang masing-masing tertera nombor talian Singapura dan ayat ‘Owe money pay today is a warning if you still don’t want reply I will come burn’.
Selain itu, turut dirampas, dua botol kaca, satu pen penanda (marker pen), satu tong mengandungi minyak petrol, satu telefon bimbit dan satu kereta berwarna biru gelap
Mengulas lanjut, Kumarasan berkata, sebelum ini suspek yang juga penganggur itu sedang mencari pekerjaan dan memohon pekerjaan melalui tawaran iklan dalam Facebook.
“Suspek kemudian ditawarkan bekerja dengan upah RM1,000 bagi membakar kenderaan atau rumah mangsa serta RM600 bagi tugasan membaling cat.
“Suspek bergerak solo dan mula melakukan kegiatan itu pada November lalu,” jelasnya.
Pada masa sama, Kumarasan berkata, pihaknya menubuhkan pasukan khas bagi menangani kegiatan membaling bom petrol dan cat itu kerana semakin berleluasa.
“Pasukan khas ini akan terus melakukan operasi bagi membanteras sindiket pinjaman wang tanpa lesen. Kita percaya masih ada lagi suspek yang diupah melakukan kegiatan ini dan kita yakin dalam masa terdekat dapat membuat tangkapan,” katanya.- MalaysiaGazette