GERIK – Seorang anggota tentera ditemui lemas hari ini manakala seorang lagi masih dalam pencarian selepas mereka dihanyutkan arus deras ketika cuba menyeberangi Sungai Merah dalam kawasan Hutan Royal Belum di sini, pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood, pihaknya menerima laporan berhubung insiden tersebut kira-kira jam 8.56 pagi hari ini dan siasatan mendapati kejadian berlaku jam 6 petang, 29 November lalu.
“Kedua-dua mangsa bersama tujuh anggota lain sedang menjalankan operasi Gerakan Kota Echo/Foxtrot di lokasi kejadian namun arus deras menyebabkan dua mangsa gagal menyeberangi sungai tersebut sebelum dilaporkan hanyut dibawa arus deras.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum salah seorang mangsa ditemui lemas hari ini.
“Manakala usaha mencari mangsa kedua masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan media hari ini. – MalaysiaGazette