SUNGAI BULOH- Polis menahan seorang lelaki warga asing bagi membantu siasatan kes video tular seekor anjing disyaki dipukul hingga mati dalam insiden didakwa berlaku di sebuah sekolah menengah di sini baru baru ini.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, suspek merupakan seorang lelaki warga Indonesia berstatus pemastautin tetap (PR).
“Kita sudah tangkap lelaki warga Indonesia untuk membantu siasatan kes ini.
“Setakat ini, empat orang saksi telah dipanggil dan diambil keterangan dalam kes ini,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Malah tambah beliau, setakat ini, bangkai anjing tersebut telah dihantar kepada Makmal Veterinar Zon Tengah untuk proses bedah siasat bagi menentukan punca kematian haiwan tersebut.
Justeru katanya,polis juga turut membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 iaitu kesalahan tidak mengemukakan notis untuk mengadakan perhimpunan kepada polis.
“Siasatan awal ke atas video tular menerusi aplikasi TikTok itu mendapati perhimpunan itu berlaku pada hari ini sekitar jam 11 pagi tadi (Isnin).
“Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan polis dalam kes ini,” ujar beliau.
Katanya kes sedang disiasat di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan khianat dengan membunuh atau mencacatkan mana-mana haiwan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Dalam satu kenyataan pada Ahad, Mohd Hafiz mengesahkan polis menerima laporan mengenai kejadian itu daripada perempuan tempatan pada 30 November lalu jam lebih kurang 2.59 petang.
Wanita itu mendakwa dia menerima panggilan daripada anaknya dari sebuah sekolah yang memaklumkan ada seekor anjing dipukul dalam kawasan sekolah.
Menurut kenyataan pekerja sekolah itu mendakwa kepala anjing tersebut tersangkut pada pagar surau sekolah sebelum kepala haiwan itu dipukul sehingga mati dan ditanam.-MalaysiaGazette