Gambar hiasan

BAHASA Melayu atau bahasa Malaysia merupakan Bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini. Sewajarnyalah penggunaan bahasa Melayu diutamakan dalam setiap urusan
dan juga setiap paparan yang berkaitan dengan maklumat negara ini. Sudah jelas termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, bahasa rasmi digunakan dalam urusan kerajaan ialah bahasa Melayu. Penamaan papan tanda di negara ini merupakan urusan rasmi yang terletak di bawah kelolaan kerajaan tempatan.

Maka, demi menjaga identiti dan jati diri negara Malaysia, sewajarnyalah penulisan papan tanda mengutamakan bahasa Melayu. Namun begitu, penggunaan bahasa Melayu bersama bahasa lain yang sesuai seperti bahasa Inggeris bagi tujuan rujukan bukan penutur bahasa Melayu tidak dilarang, bahkan penggunaan dwibahasa, bahasa Melayu dengan terjemahan bahasa Inggeris penting bagi memudahkan penutur asing yang tidak tahu berbahasa Melayu memahami maklumat yang diberikan.

Penulisan papan tanda, nama jalan, dan perkara-perkara yang sama perlulah mengutamakan Bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi. Singapura misalnya, menggunakan dua bahasa, bahkan ada keadaan yang mana papan tanda ditulis dalam tiga bahasa, dan empat bahasa mengikut kesesuaian kawasan yang menjadi perkara utama.

Penulisan papan tanda di Singapura mengutamakan bahasa Inggeris berserta bahasa Melayu, dan ada yang memasukkan bahasa Cina, dan Tamil bergantung kepada lokasi.
Bagi lokasi biasa, papan tanda ditulis menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu. Hal ini berlaku kerana bahasa Inggeris adalah bahasa komunikasi dan bahasa rasmi, manakala bahasa Melayu, bahasa Mandarin, bahasa Tamil, dan bahasa Inggeris merupakan Bahasa Kebangsaan Singapura. Beralih ke negara Perancis, Undang-undang Toubon telah diperkenalkan pada tahun 1992 ke dalam Perlembagaan. Bahasa Republik adalah bahasa Perancis (artikel 2).

Sehubungan dengan itu, undang-undang ini diguna pakai untuk memastikan hak warganegara Perancis dipelihara dalam sebarang urusan berkaitan dengan kertas urusan rasmi, yang berkaitan dengan kontrak bekerja dan yang berkaitan dengan persembahan produk kepada pengguna, panduan, arahan serta peringatan produk, menyuarakan pendapat dan apa-apa maklumat yang diterima adalah dalam Bahasa Perancis. Perintah pelaksanaannya pada 3 Julai 1996 telah menempatkan mekanisme untuk
memperkaya dan memperkasakan lagi bahasa Perancis.

Arahan ini mewajibkan penggunaan Bahasa Perancis dalam perkhidmatan dan institusi awam di seluruh negara (perintah perkara 11 dan 12), seperti mana dijelaskan seperti berikut:

Artikel 11 – Penggunaan perbendaharaan kata dan kenyataan yang diterbitkan di dalam Jurnal Rasmi adalah diwajibkan selagi terdapatnya kosa kata dan kenyataan
yang sama maksudnya dalam bahasa asing: Di dalam perintah, pekeliling, arahan dan panduan kementerian, wakil kerajaan dan dokumen, yang apa jua keadaan, yang bersumberkan perkhidmatan awam dan perbadanan negara; Dalam kes-kes yang terkandung dalam perkara 5 dan 14 seperti yang dipetik dalam undang-undang
4 Ogos 1994 yang berkaitan dengan penggunaan bahasa Perancis. Suruhanjaya perkhidmatan awam akan memantau penggunaan istilah yang disediakan dalam
perkara dan ungkapan yang diterbitkan.

Artikel 12 – Senarai perbendaharaan kata dan kenyataan yang disahkan di bawah undang-undang pemerkasaan bahasa Perancis yang telah dilaksanakan sebelum ini
diterapkan ke dalam senarai yang diterbitkan di bawah Arahan Majlis. Arahan ini boleh diubah selari dengan prosedur yang ditetapkan di dalam Perintah Perkara 7
hingga 10.

Berbalik kepada isu penguatkuasaan peraturan terhadap papan tanda di sekitar Kuala Lumpur oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) baru-baru ini. Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing mendakwa tindakan DBKL menguatkuasakan peraturan papan tanda dwibahasa itu telah mencetuskan tindak balas melampaui batas, menimbulkan rasa tidak puas hati serta mewujudkan persepsi negatif dalam kalangan pelancong.

Kenyataan ini adalah tidak mematuhi perkara yang termaktub dalam perlembagaan bahasa Melayu adalah bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara Malaysia. DBKL
bukanlah menguatkuasakan penggunaan bahasa Melayu semata-mata, sebaliknya menguatkuasakan penggunaan bahasa Melayu di samping bahasa lain yang mungkin dapat
membantu penutur atau pelancong asing memahami makna papan tanda yang ada.

Kenyataan persepsi negatif pelancong terhadap papan tanda yang menggunakan bahasa Melayu ini agak keterlaluan bagi seorang rakyat Malaysia, yang juga merupakan
warganegara Malaysia, yang seharusnya bekerjasama dalam memartabatkan bahasa kebangsaan di samping menghormati bahasa-bahasa dunia yang lain. Perlu juga dilihat
pelancong yang manakah akan melihat penggunaan bahasa Melayu di samping bahasa Inggeris atau Mandarin sebagai satu perkara yang negatif.

Adakah ketika kita melancong ke Jepun, ke Korea, ke negara China, negara Barat seperti Perancis, Sepanyol, dan lain-lain lagi kita akan melihat penggunaan Bahasa Kebangsaan mereka sebagai satu perkara negatif? Dalam soal ini jati diri dan penghayatan kepada Rukun Negara adalah tonggak kepada jiwa bangsa, lebih-lebih lagi apabila kita ingin mengukuhkan dan mendirikan negara bangsa Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum.

Demi perpaduan negara dan rakyat yang pelbagai kaum inilah penguatkuasaan terhadap mengutamakan Bahasa Kebangsaan amat penting dan wajar dilaksanakan.

 

 

Prof. Madya Dr. Salinah Jaafar
Penulis merupakan Profesor Madya di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here