Situasi kecoh yang berlaku pada sesi petang di Dewan Rakyat selepas Wee Tse mengeluarkan perkataan 'bodoh' terhadap seorang Exco kerajaan Kelantan.

KUALA LUMPUR – Sidang Dewan Rakyat sesi petang tegang seketika susulan perkataan ‘bodoh’ yang dilontarkan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) terhadap seorang Exco di Kelantan.

Wee Tse ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam mempersoalkan kewajaran exco berkenaan yang mahu mempromosikan musim tengkujuh sebagai produk pelancongan di Kelantan.

Beliau terkejut dengan kenyataan itu dan menyifatkan ia sebagai sesuatu yang tidak sensitif terhadap kesusahan dan kesukaran yang dialami oleh rakyat dalam berdepan musim tengkujuh dan banjir.

“Saya nak terus terang di sini, saya rasa pandangan itu bukan sahaja tidak sensitif malah saya nak kata, sangat bodoh.

“Mana kita boleh ambil kesusahan rakyat untuk dijadikan produk pelancongan bagi ditunjukkan kepada orang di luar negara dan saya lebih kesal dia tidak pernah nak tarik balik kenyataan ini dan pimpinan Perikatan Nasional dan Pas di sini.

“Tidak ada seorang pun yang keluar menegur beliau…adakah ini bermakna pendirian Pas dan Perikatan Nasional juga,” katanya.

Mendengar hujah tersebut, Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) bangun lalu membangkitkan persoalan yang diutarakan oleh Wee Tse serta penggunaan perkataan bodoh yang dianggap tidak sesuai.

“Tak sangka Tebrau (Wee Tse) boleh bercakap macam itu. Apa yang dijelaskan oleh Exco Kerajaan Negeri Kelantan bukan musim banjir tapi musim tengkujuh.

“Kenapa nak kaitkan musim tengkujuh dengan banjir…saya minta dia tarik balik perkataan itu,” katanya.

Halimah Ali (PN-Kapar) kemudiannya menyusul dengan memberitahu dewan bahawa apa yang diperkatakan oleh Exco berkenaan dibuat pada tiga minggu lepas bukan ketika air bah yang berlaku di beberapa negeri pada masa ini.

Perkara itu kemudiannya menjadi hangat apabila beberapa ahli dewan blok pembangkang dan kerajaan bertikam lidah lidah antara satu sama lain.

Setelah berlangsung beberapa ketika, Suhaizan Kaiat yang mempengerusikan mesyuarat menggesa supaya Wee Tse menarik balik perkataan yang didakwa pembangkang mengelirukan dewan.

Wee Tse akur dengan permintaan itu namun menggantikannya pula dengan perkataan kurang cerdik.

Sebelum ini Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan, Datuk Kamarudin Md Noor dipetik berkata, Kelantan sedang merancang usaha bagi mempromosi sukan luncur ombak atau surfing pertengahan bulan depan sebagai satu produk pelancongan negeri di musim tengkujuh.

Katanya, walaupun kelihatan agak janggal namun ia tidak mustahil dilaksanakan memandangkan Kelantan memiliki beberapa tempat sesuai untuk sukan berkenaan.

Beliau berkata, pada musim tengkujuh kawasan seperti Pantai Kemasin dan Melawi mempunyai ombak besar dan amat sesuai dengan sukan luncur ombak.

Ujarnya, usaha itu dilakukan ekoran musim tengkujuh menjadikan persekitaran Kelantan agak sepi, dengan jumlah kehadiran pelancong tidak ramai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here