BUTTERWORTH – Seorang wanita dan lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melindungi lapan migran yang diseludup masuk ke negara ini pada bulan lalu.
Tertuduh, Noor Hafiza Mohamad Amin, 41, dan Muhamad Yazid Abdullah, 42, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nor Azah Kasran.
Menurut pertuduhan, kedua-dua tertuduh secara bersama didakwa melindungi migran yang diseludup di sebuah premis di Jalan Permatang Sungai Dua, Permatang Buloh dalam daerah Seberang Perai Utara, jam 3 pagi pada 15 November lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 26H Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Nadia Jamal manakala tiada peguam mewakili kedua-dua tertuduh.
Mahkamah tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 7 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – MalaysiaGazette