Heng Xavier (kiri) dan rakannya, Lee Ho Meng didakwa atas dua pertuduhan melakukan khianat di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Dua rakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan perbuatan khianat menggunakan api selama dua hari berturut-turut terhadap sebuah rumah pada September lalu.

Tertuduh, Heng Xavier, 23, dan Lee Ho Meng, 26, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Nor Azah Kasran.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa membuang botol berisi minyak petrol di hadapan sebuah rumah di Lorong 8, Kampung Jawi, Sungai Bakap dalam Daerah Seberang Perai Selatan dengan niat untuk menyebabkan kebakaran pada 16 September lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa cuba menyebabkan kemusnahan rumah yang sama pukul 2.20 pagi pada 15 September lalu.

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan didenda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Benjamin Tan Yi Bin.

Ketika prosiding, Wan Amira menawarkan jaminan sebanyak RM12,000 bagi setiap pertuduhan namun Benjamin memohon jaminan minima atas alasan kedua-dua anak guamnya mempunyai tanggungan selain mereka telah direman kira-kira 54 hari.

Hakim kemudian membenarkan masing-masing tertuduh diikat jamin RM7,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan, mereka perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali pada sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 8 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here