Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menempelak pihak yang cuba memainkan sentimen perkauman dalam isu calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menduduki peperiksaan pada musim banjir.

Beliau mengingatkan pihak terbabit bahawa musibah yang menimpa bukan masa untuk mereka mengambil kesempatan.

“Saya mendoakan agar anak-anak kita yang diuji ini diberi ketabahan, kesabaran dan kecerdasan dalam menghadapi peperiksaan serta dipermudahkan dalam menjawab setiap soalan dengan lancar.

“Pada detik genting ini, marilah kita mengharungi ujian ini bersama. Saya cukup faham dengan sentimen massa yang empati dengan calon SPM yang terjejas namun harus saya ingatkan juga kepada sesetengah pihak yang cuba memainkan sentimen perkauman bahawa ini bukannya masa untuk menangguk di air keruh.

“Kepada calon-calon SPM di kawasan terjejas, satu Malaysia mendoakan anda. Anda tidak keseorangan, kita sentiasa ada bersama anda,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah berusaha memastikan tiada calon yang tercicir untuk menduduki ujian lisan SPM hari ini.

Semua calon SPM di kawasan terjejas banjir berjaya dipindahkan ke asrama semalam dan diberikan kemudahan terbaik termasuk buku, internet dan komputer.

Jelas Fadhlina, keputusan sukar terpaksa diambil setelah mengambilkira kesan dan impak rantaian yang bakal tercetus jika peperiksaan SPM ditangguhkan.

“Kerajaan Madani melakukan sedaya upaya dengan mekanisme yang ada untuk mengurangkan impak banjir terhadap 1.3% calon SPM (5,377 orang) di kawasan terjejas agar mereka dapat menduduki peperiksaan SPM bersama 98.7% (402,956 orang) calon SPM di seluruh Malaysia,” katanya.

Menurut Fadhlina Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Jabatan Sukarelawan Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan badan bukan kerajaan (NGO) membantu pelajar terbabit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here