KUALA LUMPUR- Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memberi kemudahan kepada institusi pengajian tinggi (IPT) untuk menjalankan proses Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) secara dalam talian bagi mangsa dan institusi yang terjejas banjir.
Tambahnya, bilik gerakan banjir di setiap IPT terjejas turut diaktifkan bagi memudahkan pelajar, kakitangan mahupun ibu bapa mendapatkan maklumat lanjut berkaitan situasi semasa.
Selain itu, KPT juga akan memberikan bantuan kepada mangsa banjir termasuk termasuk pelajar dan kakitangan institusi pengajian tinggi yang terjejas banjir di sembilan negeri ketika ini.
“Usaha ini akan digerakkan menerusi Majlis Sukarelawan Universiti Malaya (MASKUM) melalui Skuad Ihsan MADANI KPT.
“Antara bentuk bantuan yang dihulurkan termasuk bekalan makanan, kerja pembersihan, khidmat kaunseling serta menyediakan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di premis IPT,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Banjir yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi , Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang.
Untuk rekod, sehingga hari ini, dilaporkan seramai 7,338 pelajar dan staf Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) menjadi mangsa banjir dan turut menjejaskan beberapa premis IPT terutama di Kelantan dan Terengganu.
Dalam pada itu, mesyuarat jawatankuasa turut menetapkan agar para pengkaji dan akademia IPT menjalankan kajian berkaitan banjir bagi mencari solusi dan idea inovatif untuk mengurangkan kemudaratan serta impak bencana ini pada masa akan datang.
KSU KPT juga turut menggalakkan para akademia terus berkongsikan bidang kepakaran masing-masing sebagai usaha pemindahan ilmu kepada masyarakat.